Tuesday 28 March 2023

SEJARAH LEMBAGA KENAF DAN TEMBAKAU NEGARA

  
Sejarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bermula dengan penubuhan Lembaga Tembakau Negara (LTN) pada 8 Oktober 1973 sebagai sebuah Badan Berkanun Persekutuan mengikut Akta Lembaga Tembakau Negara (Perbadanan) 1973 [Akta 111].

Akta 111 bertujuan menubuhkan Lembaga Tembakau Negara untuk memperbaiki dan menjalankan dengan sepatutnya industri pengeluaran tembakau, dan bagi membuat peruntukan berkenaan dengan Lembaga dan industri itu.

Berikutan kesan persaingan perdagangan terhadap industri tembakau ekoran pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) pada 2010 dan polisi Kerajaan yang menggalakkan pengurangan penggunaan tembakau serta pematuhan Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kerajaan telah mengenal pasti satu sumber pertumbuhan baharu untuk dibangunkan yang berpotensi menjana pendapatan kepada penanam tembakau iaitu tanaman kenaf.
 
Kerajaan menggalakkan agar penanam tembakau beralih kepada tanaman kenaf yang dilihat mampu memberi pulangan setanding dengan tanaman tembakau.

Sehubungan itu, Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 [Akta 692] telah dikuatkuasakan pada 1 April 2010 bertujuan mengadakan peruntukan yang lebih baik bagi industri kenaf dan industri tembakau.
 
Pelaksanaan Akta 692 telah memansuhkan Akta Lembaga Tembakau Negara (Perbadanan) 1973 [Akta 111] serentak dengan pembubaran LTN yang digantikan dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
 
Akta 692 bertujuan mengadakan peruntukan yang lebih baik bagi industri kenaf dan tembakau, membubarkan Lembaga Tembakau Negara dan mengadakan peraturan bagi perkara-perkara yang bersampingan dan berkaitan dengannya.
 
Ibu pejabat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara terletak di Jalan Sultan Yahya Petra, Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan

No comments:

Post a Comment