Masalah sosial remaja semakin kritikal
melibatkan amalan jauh menyimpang dari norma kehidupan seorang Islam. Fenomena
ini jika tidak diatasi segera akan merosakkan seluruh komuniti masyarakat dan
mencemarkan nama baik Islam sebagai agama mementingkan pembinaan akhlak dan
kehidupan sejahtera.
Banyak pihak sekadar membincangkan
permasalahn sosial dihadapi remaja. Malangnya tidak banyak
pihak cuba mendekati remaja untuk membawa mereka ke landasan
kehidupan yang diredai Allah SWT.
Sekarang ini banyak remaja Islam semakin
jauh daripada amalan agama. Kehidupan mereka hanyut dalam dunia melekakan,
kebebasan, hiburan dan maksiat. Justeru, mereka mula didekati oleh pihak ingin
menggunakan tenaga remaja untuk merosakkan dan menghancurkan Islam dan negara.
Persoalannya, di manakah mereka yang
dipanggil pendakwah. Apakah pendakwah hanya berkhutbah atau berceramah di
masjid dan di surau, menyeru agar manusia tekun melaksanakan ibadat dan suruhan
Allah SWT.
Pengertian dakawah ialah mengajak, menyeru,
memimpin dan membantu diri sendiri dan orang lain agar bersama-sama menghayati
ajaran Islam dengan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang
dilarang.
Konsep dakwah sebenrnya amat luas,
mencangkupi segenap aspek kehidupan. Sebab itu pendakwah bukan saja di kalangan
imam, ustaz dan guru agama semata-mata. Sesiapa saja yang berkemampuan
melaksanakan amalan mengajak, menyeru dan membantu merupakan pendakwah.
Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam
menjelaskan kekeliruan itu mengatakan, ramai melihat tugas dakwah dalam skop
lebih sempit. Sedangkan sebenarnya kandungan dakwah meliputi semua kandungan
risalah Islamiah yang luas.
Pada hakikatnya dakwah Islamiah bermula
dari akidah, ibadat, hinggalah kepada pemerintahan, perundangan, pendidikan,
pertahanan, kebudayaan, kesenian, kewangan, komunikasi dan kemasyarakatan.
Dengan kata lain, semua pihak dalam bidang
pekerjaan dan aktiviti terlibat secara langsung dalam tugas dakwah, menyeru
melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Memahami konsep dakwah sebenarnya, jelas
semua individu berperanan menjadi pendakwah. Sehubungan itu, berusahalah
memahami dan menyiapkan diri untuk melaksanakan tugas penting ini.
Firman Allah SWT dalam surah Fushshilat
ayat 33 menjelaskan keutamaan melaksanakan tugas dakwah yang bermaksud: “Dan
siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah
serta berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim.”
Gambar hiasan
No comments:
Post a Comment