Monday 16 October 2023

LARANGAN TUKAR JANTINA

 
Kepincangan isu yang membabitkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semakin ketara dan dilihat sebagai satu ancaman yang merunsingkan.  
 
Secara dasarnya, perlu difahami bahawa kelakuan golongan LGBT ini merupakan perkara yang dilarang dalam Islam. Ini kerana ia bercanggah dengan fitrah sehinggakan ada yang sanggup mengubah ciptaan Allah.
 
Perlu ditegaskan, dalam Islam dengan hanya berkelakuan seperti jantina yang berlainan dari sudut gerak geri termasuk memakai pakaian yang berlawanan jantina pun akan dilaknat oleh Allah apatah lagi jika melakukan seks songsang serta mengubah kelamin dengan pembedahan.
 
Ancaman ke atas perkara tersebut dapat difahami menerusi kemurkaan Rasulullah SAW menerusi hadis bermaksud: “Nabi SAW melaknat golongan pondan kalangan lelaki dan daripada golongan perempuan yang menyerupai lelaki. Baginda SAW bersabda: Usir mereka dari rumah-rumah kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)
 
Kecelaruan kefahaman yang menyamakan antara khunsa dengan golongan transgender adalah satu kedangkalan. Ini kerana khunsa yang memiliki dua kelamin sejak lahir merupakan asal kejadian yang berlaku ke atas diri mereka. 
 
Ia berbeza dengan transgender yang mengubah fitrah asal sehingga ada yang sanggup melakukan pembedahan untuk mengubah kelamin. Malah dalam permasalahan khunsa, 
 
Islam meletakkan batasan agar mesti ditetapkan satu jantina sahaja sama ada menerusi kecenderungan fitrah perilaku atau juga berdasarkan fungsi daripada salah satu alat kelaminnya sebagaimana perbahasan oleh para ulama terdahulu.
 
Larangan mengubah ciptaan Allah ini ditegaskan melalui hadis riwayat Ibnu Masud bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Allah melaknat pembuat tatu, orang yang meminta supaya dibuatkan tatu kepadanya, orang yang mencukur kening, orang yang menjarangkan gigi dengan tujuan untuk kecantikan dan golongan yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)
 
Jika diteliti kepada perundangan di Malaysia, kelakuan golongan LGBT ini merupakan satu kesalahan jenayah Syariah yang boleh dikenakan tindakan di Mahkamah Syariah. 
 
Semua negeri di Malaysia mempunyai beberapa peruntukan khusus melibatkan transeksual. Contohnya Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah - Wilayah Persekutuan 1997 (AKJSWP 1997) yang memperuntukkan berkaitan dengan kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan (pondan) [Seksyen 28], liwat [Seksyen 25] dan  musahaqah    
(persetubuhan antara perempuan dengan perempuan) [Seksyen 26].
 
Malah, umat Islam di setiap negeri terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan (sekiranya digazetkan di negeri). Dalam hal ini, pada tahun 1983 telah diputuskan bahawa pembedahan pertukaran jantina adalah haram pada pandangan syarak. 
 
Oleh yang demikian, maka dengan sendirinya jika seseorang itu cuba untuk melakukan pertukaran jantina, perbuatan tersebut adalah haram dan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar fatwa yang telah diwartakan. [Seksyen 12 AKJSWP 1997].

No comments:

Post a Comment