Monday 18 March 2024

12 DIALEK BAHASA MELAYU DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU

 
Semenanjung Tanah Melayu atau Tanah Besar mempunyai 12 dialek Bahasa Melayu secara rasmi digunakan. Artikel ini merujuk kepada dialek Bahasa Melayu Semenanjung sahaja, bukan bahasa-bahasa peribumi Bumiputera di Semenanjung seperti Bahasa Tumbro / Namron (Siam), Bahasa Jawa (Jowo), Bahasa Bugis (Ugik), Bahasa Kampar, Bahasa Mendahiling, Bahasa Banjar, Bahasa Kerinchi, Bahasa Bawean (Phebian / Boyan), Bahasa Rawa (Rao), Bahasa Minangkabau, Bahasa Madura (Madureh), Bahasa Aceh, Bahasa Mahmeri, Bahasa Seletar, Bahasa Urak Lawoi, Bahasa Urak Kanaq, Bahasa Jah-Hut, Bahasa Sakai, Bahasa Jakun, Bahasa Orang Laut dan Bahasa Che Wong yang dipertuturkan di setengah kawasan Semenanjung. Bahasa-bahasa yang tersenarai itu bukanlah Bahasa Melayu, namun serumpun dengan Bahasa Melayu.
 
Pemetaan ini khususnya untuk memperkenalkan dan mengumpul maklumat bahasa dialek Melayu di Semenanjung. Bahasa dialek Melayu di Sumatera tidak dimasukkan sekali. Hanya Riau sahaja yang dimasukkan dalam pemetaan sebab ia sama dengan dialek Melayu yang dipertuturkan di Johor dan Selangor.
 
Kewujudan perkataan “dialect continuum” bermaksud dialek yang berterusan di antara kawasan A dan kawasan B, akibat percampuran kawasan A dan kawasan B, mereka telah menciptakan sejenis dialek baru yang merupakan campuran dari dialek A dan dialek B.
 
1. Dialek Melayu Kedah (atau juga dipanggil dialek Utagha)
 
Secara dasarnya dipertuturkan oleh keturunan Melayu Kedah dari Tanah Sari (hari ini sebahagian dari Myanmar. Bahasa Burma: Thanitharyi. Bahasa Inggeris: Tenasserim. Bahasa Thai: Tanao Sri) sehingga ke daerah Manjung, Perak.
 
Dikembangkan oleh Kerajaan Kedah dan merupakan bekas wilayah Kedah yakni Tanah Sari dan pantai barat Thailand seperti Satun (Melayu: Setul), Trang (Melayu: Terang), Krabi (Melayu: Ghairabi), Phuket (Melayu: Bukit), Ranong (Melayu: Renong), wilayah-walayah ini jatuh ke kekuasaan Thai dan Burma menjelang kurun ke-18 namun tinggalan bahasa Melayu Kedah masih wujud namun telah bercampur gaul dengan bahasa Thai.
 
Sebilangan besar keturunan Melayu Kedah di pantai barat Thailand juga telah kehilangan lidah bahasa Melayu namun masih ada yang menuturkan dalam bilangan kecil.
 
Dialek ini masih kuat dipertuturkan di Tanah Sari disebabkan kerajaan Myanmar yang lemah dalam pentadbiran, ada antara Melayu Kedah di Tanah Sari juga tidak tahu menggunakan bahasa Myanmar dan hanya tahu berbahasa Melayu Kedah.
 
Berbeza situasi dengan di Thailand di mana telah dijalankan proses asimilasi Thai yang membuatkan orang Melayu Kedah di sana banyak kehilangan lidah Kedah dan lebih menggunakan bahasa Thai.
 
Dialek Kedah yang dipertuturkan di Perak merupakan dialect continuum dan bukan 100 peratus dialek Kedah. Ia merupakan dialek Kedah yang dicampurkan dengan dialek Perak. Beberapa kosakata Kedah telah digunakan secara meluas tetapi disebut dengan cara sebutan Perak (menggunakan E Pepet). Cth: “Depe pi mana tadi hang nampak dak depe tadi?” Perkara ini terjadi kerana pantai Perak banyak dihuni oleh orang Kedah, ada antaranya telah menyerap dengan dialek Perak, tetapi ada juga yang masih tegar menggunakan dialek Kedah asli terutama golongan veteran. Perak bahagian ini tidak pernah di bawah kekuasaan Kesultanan Kedah.
 
- Dialek Melayu Kedah juga terkenal dengan sebutan bakunya dan menambah akhiran sebutan menjadi Q.
 
2. Dialek Melayu Reman (atau juga dipanggil dialek Melayu Baling, Sik, Gerik atau dialek Hulu Kedah, dialek Hulu Perak)
 
Dialek ini pada asalnya merupakan Bahasa rasmi kerajaan Reman, sebuah Kerajaan Melayu di daerah Yala, Thailand hari ini yang telah dimusnahkan oleh Dinasti Chakri pada kurun ke-19. Kerajaan Reman suatu ketika dulu adalah kerajaan anak kepada Kerajaan Patani. Wilayah Kerajaan Reman asalnya meliputi Yala, Sik, Baling, Padang Terap, Selama dan Gerik.
 
Sebagai kerajaan anak kepada Patani, dialek yang dipertuturkan tidak banyak bezanya dengan dialek Melayu Patani, namun disebabkan lokasinya yang terletak di antara negeri Kedah dan Patani membuatkan dialek ini mempunyai elemen kedua dua dialek negeri tersebut.
 
Senang dikatakan, dialek Melayu Reman ini juga sebenarnya merupakan dialek continuum kepada dialek Melayu Kedah dan dialek Melayu Patani. Banyak kosakata dialek Melayu Reman merupakan kosakata Patani tapi disebut dengan cara Kedah iaitu sebutan baku, contohnya “Demo” (Awak) di Patani disebut sebagai “Dema” (Awak) di dialek Melayu Reman.
 
Dialek Melayu Reman kurang popular di Malaysia dan wajar diberi pendedahan agar dialek ini tidak terhapus digantikan dengan penggunaan dialek Melayu Kedah atau Patani / Kelantan yang lebih dominan dan popular.
 
3. Dialek Melayu Patani (atau juga dipanggil dialek Melayu Kelantan / Kelate atau Bahasa Yawi di Thailand)
 
Dialek ini dipertuturkan di daerah Patani, Narathiwat di Thailand hari ini, negeri Kelantan dan daerah Besut di Terengganu.
 
Dialek ini merupakan Bahasa rasmi orang Melayu Patani di Thailand dan diberi gelaran sebagai Basa Yawi (Jawi). Di Malaysia ia dikenali sebagai dialek Melayu Kelantan. Suatu masa dahulu, Kelantan dan Patani adalah sebuah negeri yang satu. Kelantan seperti juga Reman, merupakan negeri anak kepada Patani.
 
Dialek Melayu Patani dikenali dgn penggunaan E talingnya. Setiap perkataan Melayu yang berserta akhiran “lan” atau “kan” akan diubah menjadi E taling di dialek Patani, manakala perkataan Melayu yang akhiran A akan diubah menjadi O, perkataan Melayu yang berakhiran huruf mati T akan ditebalkan menjadi K.
 
Dialek Melayu Patani masih kuat dipertuturkan kerana sikap orang Patani dan Kelantan yang masih kuat berpegang pada dialek asli mereka. Satu sikap yang baik demi menjaga dialek mereka daripada pupus.
 
4. Dialek Melayu Perak (atau juga dipanggil Dialek Peghak atau Melayu Perak Selatan)
 
Dialek ini dipertuturkan di kawasan Perak Selatan dan merupakan satu-satunya dialek Perak asli jadi wajar diberi gelaran dialek Melayu Perak.
 
Dialek ini menjadi dialek lingua franca atau pemersatu bagi etnik-etnik peribumi di Perak Selatan yang terdiri dari pelbagai etnik bahasa berbeza antaranya Jawa, Melayu, Banjar, Bugis, Mendailing, Rawa, Kampar dan Kerinchi. Etnik-etnik ini banyak berpindah ke Perak Selatan selepas era perang Klang (Perang Saudara Selangor 1860-an).
 
Dialek ini menggunakan banyak E Pepet dalam sebutan, setiap yang berakhiran A akan disebut E pepet. Dialek ini juga terkenal dengan sebutan R yang ditebalkan menjadi Ghrau maka kebanyakkan penutur asli Melayu Perak akan biasanya mengalami kesukaran untuk menyebut huruf dengan huruf R dengan betul. Contohnya rokok akan menjadi ghokok dan rambut akan menjadi ghambut.
 
Namun pelat ini tidak seketara orang Melayu Sarawak, Pontianak kerana orang Melayu Perak mudah mengikut lenggok Bahasa / dialek tempatan apabila merantau.
 
Disebabkan sikap mudah mengikut lenggok orang itu, dialek Melayu Perak juga mengalami kemunduran, banyak kawasan-kawasan yang asalnya bertutur dialek Melayu Perak, contohnya di Perak Hilir di antara sempadan Manjung dan Telok Intan telah berubah menggunakan dialek Melayu Kedah.
 
5. Dialek Melayu Hulu Pahang (atau juga dipanggil Dialek Raub, Lipis)
 
Dialek ini dipertuturkan di daerah Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Bentong dan Cameron Highlands
 
Dialek ini sebenarnya merupakan dialect continuum dialek Melayu Perak dan dialek Melayu Reman / Patani. Ia juga sering disalah ertikan dengan dialek Melayu Perak akibat bunyinya yang hampir sama.
 
Seperti juga dialek Perak, dialek Melayu Hulu Pahang juga menggunakan E Pepet untuk akhiran A.
 
Dialek ini mengalami kemunduran akibat sikap penutur aslinya yang mudah mengikut lenggok dialek lain. Di daerah Bentong contohnya amat susah hendak jumpa penutur dialek ini malah banyak yang menutur dialek Johor-Riau Selangor mungkin disebabkan lokasinya yang hampir dengan daerah Gombak, Selangor.
 
Daerah Merapoh iaitu daerah sempadan antara Kuala Lipis (Hulu Pahang) dengan Gua Musang (Kelantan) juga lebih banyak menggunakan dialek Patani (Kelantan) berbanding dialek Hulu Pahang.
 
6. Dialek Melayu Hilir Pahang (atau juga dipanggil Dialek Temerloh, Maran)
 
Dialek ini dipertuturkan di daerah Temerloh, Maran dan Bera. Dialek ini sama juga seperti dialek Hulu Pahang, cuma mempunyai beberapa kosakata berbeza. Seperti juga dialek Hulu Pahang, dialek ini juga mengalami kemunduran.
 
7. Dialek Melayu Kuala Pahang (atau juga dipanggil Dialek asli Kuantan, Pekan, Rompin)
 
Dialek ini dipertuturkan di daerah Kuantan (kawasan pedalaman), Maran dan Bera. Seperti juga dialek Hilir Pahang dan Hulu Pahang, tidak banyak beza, cuma mempunyai beberapa beza kosakata dan disebut berlainan sedikit.
 
Seperti juga dialek Hilir dan Hulu Pahang, dialek ini juga mengalami kemunduran, antara sebabnya adalah penyerapan dialek Kuala Terengganu yang banyak malah kebanyakkan penutur Kuala Pahang telah kini menggunakan dialek Kuala Terengganu (terutama generasi muda).
 
8. Dialek Melayu Hulu Terengganu (atau juga dikenali dialek Kuala Berang)
 
Dialek ini dipertuturkan di daerah Hulu Terengganu dan sedikit di Setiu. Dialek ini dipercayai dialek Bahasa Melayu tertua di Semenanjung. Dialek ini juga menurut beberapa sarjana berkemungkinan besar merupakan Bahasa Proto-Malayan. Banyak sebutan di dalam dialek Hulu Terengganu kedengaran purba seperti contoh “Larai” (Lari), “Akaw” (Aku), “Jagaung” (Jagung), “Balaik” (Balik).
 
Sebutan begini sangat tipikal dalam bahasa-bahasa purba Austronesia yang masih dituturkan di beberapa kawasan seperti di Borneo Utara, Maluku, Pergunungan Sumatera Selatan dan Gugusan Kepulauan Barat Thailand (Bahasa Moken).
 
Dialek ini juga mengalami kemunduran akibat kurang popular, kebanyakkan kawasan asli dialek Hulu Terengganu juga telah digantikan penggunaan dialek Kuala Terengganu yang lebih dikenali umum dan dominan.
 
9. Dialek Melayu Kuala Terengganu (atau juga dikenali dialek Teganu / Marang)
 
Dialek ini dipertuturkan di sepanjang pantai Terengganu sebab itu digelar sebagai dialek Kuala Terengganu, kecuali daerah Besut dan jajahan takluknya (Pulau Perhentian) hinggalah ke pantai Pahang dan Mersing di Johor. Pantai Pahang dan Mersing Johor menggunakan dialek Kuala Terengganu disebabkan jumlah bilangan kedatangan orang Terengganu ke kawasan tersebut.
 
Dialek ini terkenal dengan penggunaan huruf G yg banyak. Dari segi kosakata dialek ini sebenarnya tidak banyak bezanya dengan dialek Melayu Patani / Kelantan cuma cara penyebutan sahaja diubah suai. Segala yang berakhiran E taling di Melayu Patani diubah menjadi NG di Kuala Terengganu manakala segala yang berakhiran O di Melayu diubah menjadi E pepet di Kuala Terengganu.
 
Dialek ini dipercayai dikembangkan oleh orang Bugis dari Sulawesi Selatan akibat penggunaan G yang iras digunakan secara mendadak serta pengubahsuaian akhiran T menjadi K namun bukti kukuh tidak ada setakat ini walaupun beberapa perkara boleh diambil kira antaranya cara hidup orang Kuala Terengganu yang sinonim dengan laut (iras dengan cara hidup orang Bugis), makanan tradisi orang Terengganu iaitu nasi dagang yang dipercayai berasal dari Burasak (makanan tradisi orang Bugis) dan akhir sekali sejarah pembukaan daerah-daerah di Terengganu antaranya daerah Setiu yang dibuka oleh seorang pendekar berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan bernama Tok Setiu.
 
10. Dialek Melayu Johor-Riau Selangor (atau juga dikenali dialek KL, dialek Melayu Riau)
 
Dialek Melayu Johor-Riau Selangor merupakan dialek yang sangat penting yang dijadikan standard atau asas buat Bahasa Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Dialek ini diangkat berkat Kepulauan Riau yang pernah menjadi pusat penting perkembangan Bahasa Melayu selepas ia dimodenkan oleh Raja Ali Haji, seorang penulis / bapa Bahasa Melayu berketurunan Bugis.
 
Dialek ini terkenal dgn sebutan E pepet di setiap perkataan yang berakhiran A. Sering dipanggil oleh orang Malaysia sebagai “loghat KL” sebenarnya nama betulnya adalah dialek Johor-Riau Selangor kerana ia digunakan 3 negeri ini sejak zaman sebelum wujudnya Kuala Lumpur jadi tiadak wajar KL pula yang dapat nama. Johor-Riau dan Selangor sebelum 1760 adalah satu negeri yang sama, budaya tiga negeri ini sering bertukar-tukar jadi tidak hairan dialek ini masih kuat dipertuturkan di tiga negeri ini.
 
11. Dialek Melayu Melaka
 
Dialek ini dikenali dengan sebutan yang banyak menggunakan huruf U di akhirannya. Segala yang berakhiran R akan diubah menjadi U, contoh: pagar menjadi pagau, ular menjadi ulau.
 
Dialek Melaka sebenarnya sangat kaya dengan kosakata tersendiri namun kurang dikenali. Juga dikenali sebagai dialek paling kasar di Malaysia, banyak perkataan-perkataan cacian atau makian di Bahasa Melayu dipercayai berasal dari dialek Melaka.
 
Seperti dialek Johor-Riau Selangor, dialek ini juga mengubah sebutan akhiran A menjadi E pepet namun disebut dengan intonasi lebih panjang. Contoh: Ape dieeee. Dituturkan juga di kawasan Muar, Johor.
 
12. Dialek Melayu Negeri Sembilan (Dialek Nogori / Melayu Minangkabau)
 
Dialek ini tercipta hasil percampuran orang Minangkabau dengan masyarakat Melayu setempat. Negeri Sembilan adalah negeri yang didominasi oleh orang Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia. Dialek ini merupakan creole atau pidgin Melayu / Minangkabau, yang bermakna ia asasnya masih Bahasa Melayu Cuma disebut cara Minangkabau.
 
Dialek ini dipertuturkan di kawasan pedalaman Negeri Sembilan khususnya daerah-daerah yang masih kuat beradat Minangkabau, setengah kawasan masih menuturkan Bahasa Minangkabau dan dialek ini sebagai Bahasa pemersatu.
 
Dialek ini dikenali dengan penggunaan huruf O yang banyak. Dialek ini diambang kemunduran juga akibat banyak kawasan-kawasan bandar telah didiami orang bukan negeri Sembilan dan penduduk asal mudah mengikut lenggok dialek orang luar.
 
Kredit: Daeng Tenrikalla Andika