Thursday 15 February 2024

RAIKAN PERBEZAAN PENDAPAT TANPA PREJUDIS

 
Lihat gambar di atas. Apa yang anda lihat? Kambing atau burung? Ada yang mengatakan dia melihat itu adalah gambar kepala kambing. Manakala ada yang lain pula mengatakan itu kepala burung. Sebenarnya gambar apa itu?
 
Minda manusia akan memproses apa yang dilihat, tetapi setiap orang mempunyai pandangan berbeza terutama apabila ada wujud kekeliruan optik yang akan menyebabkan berlaku perbezaan gambaran sebenar apa yang dilihat.
 
Melihat gambar yang sama, tetapi gambaran imej yang diterjemahkan oleh minda adalah berbeza. Sebenarnya, begitulah dalam soal menterjemahkan sesuatu perkara, pendapat, formula dan sebagainya.
 
Maka untuk mengurangkan “konflik” perbezaan, apa-apa juga perkara yang hadapi atau dilalui perlu dalam keadaan diri yang tenang, berfikiran jauh dan jauhkan perasaan prejudis dan membuat keputusan sebelum berfikir.
 
Komunikasi biasa terhalang atau terganggu apabila pihak terlibat saling meragui dan cuba mencari kesalahan pihak lain. Akibat situasi itu, mereka tidak menumpukan kepada apa yang dibincangkan. Masing-masing merasakan mereka akan menjadi mangsa kepada pihak lain.
 
Sebab itu, setiap komunikasi perlu diadakan dengan jujur dan ikhlas. Apa yang dibincangkan itu tidak ada agenda atau maksud yang tersembunyi. Apa yang dibincangkan adalah secara berfokus dan masing-masing ingin mendapat kebaikan.
 
Komunikasi tanpa prejudis akan berlaku dengan ikhlas dan ia pasti akan berjalan lancar. Kita tidak perlu memikirkan perkara terselindung yang berniat jahat. Mereka tidak perlu merahsiakan perkara yang tidak sepatutnya dirahsiakan. 
 
Namun, tidak pula bermaksud semua perkara perlu dipersetujui. Apa yang dibincangkan perlu berdasarkan kepada matlamat yang ingin dicapai. Maka, jika ada perkara tidak patut dipersetujui, perkara itu kena dipertahankan.
 
Dengan kata lain, berkomunikasi tanpa prejudis bukan bermakna semua boleh dan tidak ada bantahan. Perbincangan memang ada yang tidak sefahaman. Justeru, komunikasi secara bijaksana dan tertib mesti diamalkan selalu. Berilah peluang setiap orang memberi pandangan dan harapan mereka.
 
Kita jangan mudah tersinggung jika ada apa yang diperkatakan oleh pihak lain tidak menepati apa yang kita inginkan. Jangan mudah membuat penilaian buruk atau menyalahkan pihak lain.
 
Setiap orang ada pandangan dan pendapat. Raikan dan hargai perbezaan pendapat itu. Perbezaan ini mungkin memberi satu dimensi baru dalam pemikiran dan pendapat kita. Berfikir secara positif dan hasilnya juga akan positif.
 
Kalau kita bersedia memberi ruang lebih luas dalam minda kita mengenai pendapat orang lain, akan memberi kita kematangan berfikir. Kita akan lebih mempunyai pilihan dalam membuat keputusan. Itu dinamakan pemikiran terbuka dan mengelak perkara jumud.
 
Sikap hanya menganggap pendapat diri sahaja yang betul tidak patut diamalkan. Itu satu sikap ego dan tidak mahu menerima pandangan orang lain. Pendapat dan perbuatan orang lain semuanya salah dan tidak menepati kehendak. Inilah punca berlaku krisis dalam hubungan dan pengurusan.
 
Konflik dan krisis dalam pengurusan organisasi merupakan keadaan yang menyebabkan pertembungan kehendak, matlamat, konsep dan cara-cara untuk mengurus serta membawa organisasi ke hadapan. Untuk mengatasi konflik itu perlu kepada keterbukaan minda. Buangkan sikap prejudis dan berasa hanya diri sendiri betul.
 
Konflik, dalam maksud yang mudah dapat dihurai sebagai perbezaan pendapat antara dua pihak yang membawa kepada percanggahan. Konflik tidak pernah diselesaikan apabila keputusan yang terhasil tidak mewakili kepentingan pihak-pihak yang terlibat.  
 
Konflik sebenarnya berlaku dalam kehidupan manusia sama ada dalam institusi formal atau tidak formal. Apabila berlaku pertentangan yang tidak ada kata kesepakatan, hingga menimbulkan konflik kontroversi antara pihak yang terlibat dalam organisasi, maka bermula kisah baru iaitu timbulnya krisis yang tidak dipertimbangkan dengan wajar malahan lebih bersifat emosional.
 
Maka itu, untuk mengelak konflik berterusan sehingga dikuasai emosi tidak stabil, amalkan sikap tanpa prejudis dalam berkomunikasi. Sikap tanpa prejudis akan memberi kelegaan berfikir dan mencambahkan kematangan
.

No comments:

Post a Comment