Sunday 3 March 2024

SST MUDAH DIMANIPULASI DAN KETIRISAN

 
Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ini adalah sistem cukai bermasalah yang amat membebankan rakyat. Ia adalah sistem cukai berganda atau “tax-on-tax” dalam sistem rantaian jualan barangan dan perkhidmatan daripada pengeluar kepada penjual akhir.
 
Cukai-cukai dalam rantaian pengeluaran ini semuanya akan dipindahkan dan ditanggung oleh pembeli. Dalam sistem SST cukai-cukai dalam rantaian ini tidak boleh dituntut semula daripada kerajaan.
 
Inilah sebabnya apabila SST naik 2% dari 6% ke 8%, harga jualan barangan dan perkhidmatan naik melambung tinggi, ada laporan akhbar menyatakan harga jualan barangan runcit telah naik 15% dan kadar hotel pun naik sehingga 30%.
 
Dan SST juga terbuka kepada banyak ketirisan dan penipuan cukai. Wang cukai yang dibayar oleh pengguna kepada penjual tidak semuanya sampai kepada kerajaan. Pengusaha dan peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga atas alasan SST naik, tetapi hasil cukai ini tiris dengan manipulasi akaun.
 
Sebab itu sebelum ini kerajaan boleh kutip lebih RM40 billion dengan 6% cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi hanya kutip RM20 billion pada kadar SST yang lebih tinggi sehingga 11%. RM20 billion ini hilang ke pasaran gelap.
 
Lebih RM20 billion tiris dan hilang ke pasaran gelap ini adalah kerana dengan SST pengusaha dan peniaga boleh lari daripada membayar cukai walaupun pengguna sudah bayar kepada mereka.
 
Sebaliknya, dengan GST mereka tidak boleh lari. Sebab itu mereka suka SST dan benci GST. Dengan SST dan dalam pasaran gelap, lebih senang dan lebih banyak peluang sakau wang yang sepatutnya diserahkan kepada kerajaan.
 
Dengan SST rakyat lebih terbeban dan yang untung adalah pengusaha dan peniaga pasaran gelap ini.
 
Dulu sebelum PRU-14 semasa ringgit berada pada paras RM3.8/USD dan GST 6%, ahli-ahli politik dalam kerajaan sekarang ini guling-guling atas jalan raya dan kata rakyat terbeban, ekonomi musnah dan sebagainya.
 
Kini apabila ringgit mencapai terteruk RM4.8/USD dan SST naik 8% mereka kata ekonomi stabil dan harga barang masih murah cuma naik 1.5% saja. Inilah falsafah ekonomi ahli-ahli politik yang gagal mentadbir negara.
 
Pertukaran GST kepada SST adalah “permainan” terburuk politik Malaysia.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment