Monday 15 January 2024

STATUS DOA KETIKA BERADA PADA BULAN REJAB

 
Apabila memasuki bulan Rejab, maka banyak individu membuat hantaran di media sosial mengenai doa: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah (pertemukan kami dengan bulan Ramadhan) kepada kami pada bulan Ramadhan”.
 
Doa itu disandarkan kepada sebuah hadis. Persoalannya, apakah status hadis tersebut?
 
Mari kita membuat takhrij lafaz “doa” tersebut. Takhrij ialah proses menyandarkan atau menunjukkan kedudukan sesuatu hadis pada sumber asalnya yang diriwayatkan secara bersanad dan menerangkan statusnya jika perlu.
 
Antara kitab-kitab yang menyebut lafaz doa seperti di atas adalah:
 
Di dalam Musnad Imam Ahmad: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW bersabda bermaksud: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Syaban dan Kau berkatikanlah kepada kami pada bulan Ramadan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”. (Hadis riwayat Ahmad, no. 2228)
 
Imam Ibn Sunni, Imam al-Baihaqi, Imam al-Bazzar dan Abu Nuaim juga menyebut hadis ini di dalam kitab mereka: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Syaban dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”. [Ibn Sunni, Amal al-Yaum wa al-Lailah, 1:610, al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, 5:348, no. Hadith 3534, al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, 13:117, no. Hadith 6496 dan Abu Nuaim, Hilyah al-Awliya’, 6:269]
 
Hadis ini dihukum daif pada sanadnya oleh para ulama hadis. Antaranya ialah:
Imam al-Nawawi. [Al-Azkar, 1:189]
Imam Ibn Rejab. [Lathaif al-Ma’arif, 1:121]
Syeikh Syu’aib al-Arnaout. [Sunan Abu Daud, 4: 180]
 
Di dalam sanad hadis ini terdapat dua kecacatan sebagaimana yang dinyatakan oleh ahli hadis:
 
Pertama: Pada Zaidah bin Abi al-Ruqqad
- Imam al-Bukhari, al-Nasa’ie dan al-Hafiz Ibn Hajar menghukumnya sebagai “mungkar al-Hadith”.
- Abu Hatim mengatakan bahawa “riwayat Zaidah daripada Ziyad adalah riwayat yang marfu’ tetapi mungkar dan kita tidak mengetahui adakah ia (hadith) daripadanya atau daripada Ziyad”.
 
Kedua : Pada Ziyad al-Numairiy
- Ibn Ma’in dan Abu Daud “mengdaifkannya”.
- Abu Hatim mengatakaan “ditulis hadishnya tetapi tidak boleh berhujah dengannya”.
- Ibn Hibban menyatakan di dalam “al-Thiqat bahawa dia (Ziyad) tersalah dan di dalam al-Majruhin sebagai mungkar al-Hadis. Dia meriwayatkan daripada Anas perkara-perkara yang tidak menyamai hadis daripada orang yang thiqat dan tidak boleh mengambilnya sebagai hujah”.
- Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan dia (Ziyad) adalah “dhaif”.
 
Setelah dilihat pendapat para ulama berkaitan kesahihan hadis ini, maka cenderung untuk mengatakan bahawa hadis ini sanadnya teramat lemah kerana padanya terdapat dua orang perawi yang bermasalah serta pada masa yang sama kita tidak boleh menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.
 
Walau bagaimanapun, matan atau teks hadis tersebut tidak mempunyai masalah jika kita ingin berdoa dengannya. Ini kerana di dalam berdoa, kita dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah SWT selagimana perkara yang diminta itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.
 
SUMBER ASAL  

No comments:

Post a Comment