Friday 13 January 2023

SIAPAKAH TUAN FARRER DALAM SEJARAH PASIR PUTEH

 
Siapakah Tuan Farrer dalam sejarah Pasir Puteh sehingga namanya diabadikan di mercu tanda bandar Pasir Puteh yang dinamakan Wakaf Tuan Farrer?
 
Wakaf Tuan Farrer dianggap bersejarah. Mercu tanda ini terletak di bulatan pertemuan Jalan Nara, Jalan Manan dan Jalan Tok Tok Janggut.  
 
Mari kita selusuri sejarah hidup beliau. Bukan tanda mengagung-agungkan beliau, tetapi sekadar untuk mengenali beliau mengapa namanya ‘kekal’ di Pasir Puteh.
 
Nama penuh beliau adalah Roland John Farrer dilahirkan pada 2 Mac 1873 di Marylebone, London. Beliau membesar sebagai seorang yang pintar dengan umur 14 tahun telah berjaya menempatkan diri di Eton College pada 1887.
 
Beliau berada di kolej tersebut sehingga berumur 19 tahun, setelah itu beliau telah melanjutkan pelajaran ke Oxford University pada 1892. Tiga tahun kemudian beliau telah berjaya menamatkan pengajian di universiti terulung di dunia itu dengan jayanya pada 1895.
 
Umur masih muda, berkelayakan serta pintar menjadi keutamaan untuk beliau diterima berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Negeri-negeri Selat dengan bermula sebagai kadet pada 1896 dalam usia 23 tahun.
 
Beliau telah ditempatkan di Wellesley Province (Seberang Prai) selama empat tahun sebelum dipindahkan ke pejabat sekratariat di Singapura pada 1900. Dua tahun kemudian beliau kembali semula ke Wellesley Province dan ditempatkan di sana sehingga 1907.
 
Sepuluh tahun berkhidmat dengan Perkhidmataan Awam Negeri-negeri Selat, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pagawai Tanah di Singapura pada 1908 sehingga 1911.
 
Seterusnya, atas kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan awam telah melayakkan beliau untuk dinaikan pangkat sebagai Pegawai Penilaian Perbandaran di Singapura dari 1911 hingga 1915.
 
Pada tahun 1915 menyaksikan tercetusnya penentangan rakyat Kelantan di Pasir Puteh terhadap pengelibatan Inggeris di negeri ini.
 
Penentangan rakyat Kelantan pada waktu itu berada di tahap yang serius hingga memaksa Gabenor Negeri-negeri Selat di Singapura menghantar sepasukan Pengawal Negeri Tanah Melayu yang dibarisi oleh tentera Gurkha untuk membenteras penentangan yang telah berlaku di Pasir Puteh.
 
Langkah tersebut telah diambil berikutan Ketua Jajahan Pasir Puteh ketika itu, Encik Latiff telah melaporkan hal tersebut ke pejabat sekratariat di Singapura.
 
Akhirnya penentangan tersebut telah berjaya dipatahkan, dan tentera Inggeris kembali menguasai jajahan Pasir Puteh dan sebagai langkah pemulihan pentadbiran British di Kelantan, Rolland John Farrer telah dihantar dari Singapura ke Kelantan sebagai Pemangku Penasihat British merangkap Ketua Jajahan Pasir Puteh dari 1915 hingga 1919.
 
Selepas beliau mejawat jawatan Pemangku Penasihat British di Kelantan, beliau telah dilantik sebagai Presiden dan Pesuruhjaya Perbandaran Singapura sehingga 1931. Beliau terus menetap di Singapura sehingga keakhir hayatnya.
 
Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun pada 24 Julai 1956 dan jasadnya telah dikebumikan di Perkuburan Bidadari, Singapura.
 
Berdasarkan beliau pernah menjadi Ketua Jajahan Pasir Puteh dan terlibat membina wakaf yang kini terletak di bulatan pertemuan Jalan Nara, Jalan Manan dan Jalan Tok Tok Janggut, wakaf tersebut dinamakan sebagai Wakaf Tuan Farrer.  
 
Maklumat mengenai Wakaf Tuan Farrer:
https://biroteguhnegara.blogspot.com/2023/01/gix.html
 

No comments:

Post a Comment