Monday, 2 January 2023

KEBURUKAN AKIBAT KETAGIH JUDI

 
Menutup operasi judi berlesen satu kaedah untuk mengurangkan aktiviti perjudian. Namun, penutupan itu akan membuka pula aktiviti perjudian secara gelap yang kesannya lebih buruk serta tidak terkawal.
 
Rakyat perlu ditarbiah agar bencikan judi dan tidak sekali-kali akan terlibat dalam apa juga bentuk perjudian, sama ada kecil atau besar pertaruhannya.
 
Di negara yang mengamalkan sistem ekonomi bebas membenarkan perjudian sebagai sebahagian aktiviti perniagaan. Rakyat bebas berjudi asalkan mempunyai wang atau barang untuk dipertaruhkan. 
 
Sebenarnya, kebenaran undang-undang bukan bermakna berjudi mendatangkan kebaikan. Hakikatnya, keburukan perjudian tetap tidak dapat dielak dan hukumnnya tetap haram di sisi Islam. 
 
Aktiviti perjudian merebak dalam masyarakat tanpa mengira taraf kehidupan, tahap pendidikan, kebudayaan dan ekonomi. Kesan buruk akibat perjudian dihadapi dalam semua tamadun kehidupan manusia. 
 
Judi diharamkan kerana mendatangkan banyak keburukan. Semua berbentuk perjudian diharamkan biarpun pertaruhannya kecil, dilakukan secara suka-suka dan mengisi masa lapang.  
 
Sebenarnya, pengharaman judi tanpa mengira jumlah pertaruhan dan niat, bertujuan mengelak daripada merebak kepada pertaruhan besar. Sikap tamak dan hasutan syaitan mudah menyebabkan keburukan lebih besar. 
 
Rata-rata kaki judi bermula dengan pertaruhan kecil dan suka-suka. Ada setengahnya pula kerana terpengaruh dengan tabiat rakan dan hendak mencuba nasib sekadar sekali dua, tetapi selepas itu mereka mula menjadi ketagih berjudi.
 
Ketagih judi memang sukar dihapuskan selagi perasaan tamak menguasai diri. Semakin dituruti ketagih judi, semakin banyak keburukan yang terpaksa ditanggung. Jadi, jalan terbaik menyelesaikan masalah ialah dengan berusaha meninggalkan perbuatan yang sia-sia itu. 

Gambar - Harian Metro mengenai laporan penutupan operasi jadi di Kedah bermula 1 Jan 2023

No comments:

Post a Comment