Monday, 26 December 2022

MENCORAK WARNA LUKISAN KEHIDUPAN RAKYAT

 
Rakyat di negara ini terutamanya generasi muda perlu diberikan bimbingan dan fahaman mengenai sistem berkerajaan dan bernegara yang berteraskan doktrin Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
 
Justeru, amat penting warga memahami dan menghayati lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara untuk dijadikan pedoman dalam usaha mahu memupuk warga yang bersatu-padu yang hidup penuh harmoni dalam sebuah negara merdeka daulat, aman lagi makmur.
 
Rakyat yang berbilang kaum mengamalkan pegangan agama yang berlainan, mewarisi budaya yang beraneka dan menguasai pelbagai bahasa.
 
Banyak negara di dunia berakhir dengan perang saudara kerana rakyatnya memilih untuk berbalah, bertelagah, bersengketa dan berkonfrontasi atas faktor-faktor perbezaan kasta, kaum, warna kulit dan agama.
 
Jika perbezaan yang mahu diberikan fokus, maka kita sebenarnya memilih untuk melahirkan warga yang akan berselisih, berkonflik dan berpecah belah secara berterusan. 

Jika kita mahu memperbesarkan perbezaan, maka tembok pemisah akan terbina yang tidak memungkinkan lahir masyarakat yang bersatu. Disebabkan itu akan terbentuk hubungan masyarakat tidak akan menerima dan meraikan perbezaan.
 
Sebaliknya, jika kita sering berlapang dada dan berminda terbuka, akan wujud masyarakat yang menghormati realiti kepelbagaian, serta melihat kepelbagaian secara positif yang mengandungi kekayaan dan kekuatan.
 
Minda yang bijaksana akan menjadikan perbezaan dan kepelbagaian sebagai lukisan kehidupan yang dipenuhi dengan warna-warni keceriaan dan rona-rona kehidupan yang saling melengkapkan antara satu sama lain.
 
Negara yang warganya hidup dalam aman dan harmoni akan dapat menumpukan fikiran, tenaga dan usaha, untuk menarik pelabur dan pelancong, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan negeri dan melimpahkan kemakmuran kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment