Friday, 6 January 2023

MUHASABAH DIRI MENCARI SEBAB MELAYU DIHINA

 
Mengapa Melayu dihina? Cuba kaji dan muhasabah diri secara jujur mengapa perkara ini berlaku. Jangan hanya tahu hendak menyalahkan pihak lain atas kelemahan sendiri.
 
Mengapa kaum lain sejak kebelakangan ini dengan mudah dan tidak ada homat kepada bangsa Melayu? Amat malang apabila orang Melayu sendiri menghina kedudukan Melayu.
 
Adakah ia ada kaitan dengan kedudukan kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh orang Melayu dalam keadaan lemah?  Mungkinkah bangsa lain telah berasa mendapat sokongan dan bergabung dengan parti Melayu sebagai tiket untuk menyerang orang Melayu? 
 
Secara teorinya, musuh akan menyerang ketika melihat Melayu lemah. Dalam konteks Malaysia, Melayu dilihat lemah apabila bercakaran sesama sendiri. Lebih-lebih lagi apabila Melayu sendiri yang membuat sesuatu yang boleh mendatangkan kerugian kepada Melayu.
 
Di Malaysia, Melayu adalah Islam. Tafsiran Melayu sepertimana Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa 'Melayu' ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu.
 
Sesiapa yang menghina Melayu bermakna telah menghina Islam yang mana Melayu itu mesti Islam. 
 
Sama juga dengan isu penghinaan terhadap Yang Dipertuan Agong dan Sultan-sultan adalah satu penghinaan yang jelas terhadap agama Islam kerana baginda adalah pelindung kesucian Islam di Malaysia.
 
Maka di sini, orang Melayu mesti bersatu tanpa mengira pegangan politik untuk mempertahan Islam yang kini diserang dari segenap sudut. 
 
Kedudukan pemimpin Islam perlu dipertahan, sama ada suka atau tidak. Kalau tidak suka boleh tolak semasa pilihan raya akan datang.
 
Jagalah adab dalam menghormati pemimpin. Kalau tidak betul, tegurlah dengan beradab dan tertib.
 
Adab menegur pemimpin termasuk perkara dosa dan pahala. Kalau kita buat yang ditegah, tentu sekali kita dikira melakukan dosa. Sebaliknya, jika kebaikan dilakukan, maka pahalalah yang diperoleh.
 
Sekarang ini Melayu lemah kerana saling menjatuhkan antara satu sama lain. Kalau ada pemimpin Melayu daripada parti tertentu, maka akan ada Melayu juga berusaha untuk menjatuhkan. Masa, tenaga dan fikiran ditumpukan untuk menjatuhkan sesama Melayu.

No comments:

Post a Comment