Friday, 16 February 2018

TASIK BANDING, HENTIAN JALAN RAYA TIMUR BARAT

Pemandu kenderaan yang melalui Jalan raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan akan mengalami suasana yang selesa. Keadaan jalan semakin elok dan selamat berbanding sebelum ini.

Perjalanan kira-kira 120 kilometer itu merentasi Banjaran Titiwangsa yang ‘membahagikan’ Semenanjung Malaysia kepada timur dan barat memang menarik. Memandu di puncak-puncak bukit memberi peluang melihat pemandangan hutan menghijau saujana.

Namun satu lagi keistimewaan dirasakan oleh pengguna Jalan Raya Timur Barat ialah melalui kawasan Pulau Banding atau Tasik Banding.

Tasik Banding yang wujud hasil pembinaan Empangan Temenggor itu amat menarik dan menjadi ingatan setiap mereka yang melalui kawasan itu. Tasik Banding terletak kira-kira 80 kilomter dari Jeli dan hanya 40 kilometer dari Gerik.

Nama Tasik Banding memang terkenal sebagai destinasi bagi mereka ingin menikmati suasana damai tasik dan aktiviti memancing.

Terdapat resort dan rumah tumpangan disediakan bagi mereka yang ingin bermalam di situ.  Kemudahan bot dan rumah bot bagi tujuan memancing dan menikmati keindahan tasik juga disediakan dengan kadar bayaran berpatutan.

Bagi mereka yang sekadar melalui kawasan tersebut pastinya tidak melepaskan peluang berhenti seketika di Pulau Banding untuk berehat sambil menikmati suasana segar dan melihat pemandangan indah tasik yang tenang.

Rehat yang cukup dan keadaan badan yang selesa penting bagi menjamin perjalanan selamat. Sediakan sedikit masa untuk rehat.      

No comments:

Post a Comment