Di Kelantan, jawatan Imam Masjid Mukim
menguruskan banyak hal berkaitan agama dan kebajikan ahli kariah. Jawatan
penting tetapi dari segi imbuhan kewangan agak kecil. Pun begitu, jika
dibandingkan masa dahulu, imbuhan itu sudah dikira cukup baik.
Sebelum tahun 1978, Imam Masjid Mukim
(masjid dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat) boleh dianggap tiada elaun.
Mereka mendapat sedikit imbuhan jika ada pasangan dinikahkan dan komisen
pungutan zakat sebagai amil.
Selepas tahun 1978, imam ada elaun bulan sekitar
RM300 atau RM400 sebulan. Selain itu ada imam turut dilantik sebagai mubaligh
(bertanggungjawab menyampaikan kuliah di masjid dan surau) dan menjadi guru
al-Quran.
Sekarang ini elaun imam mencecahkan RM1000
sebulan, tidak termasuk imbuhan dalam bentuk lain. Pun begitu, jumlah itu tentu
sekali masih dianggap terlalu rendah berbanding beban tugas.
Tugas imam nampak mudah, mengimankan solah
berjemaah lima kali sehari. Makmum lain pun hadir tanpa elaun atau imbuhan.
Mereka pergi masjid mengharapkan reda Allah SWT.
Jadi, banyak orang beranggapan, tugas imam
beruntung kerana pergi sembahyan, selain mendapat pahala, dapat pula elaun atau
imbuhan untuk dunia.
Hakikat sebenarnya tidak semudah itu tugas
imam. Mereka “wajib” hadir tepat pada masanya. Tidak boleh sesuka hati hendak
datang atau tidak, atau pergi berjemaah di masjid atau surau lain.
Itu tidak termasuk tugas-tugas lain yang
tidak ada di dalam senarai imam tetapi ada di dalam tanggungjawab berkaitan
keimanan. Jika ada yang perlukan khidmat imam, kenalah dilakukan dengan sebaiknya.
Ada yang jemput untuk mengendalikan tahlil, menguruskan jenazah, mengimankan sembahyang
sunat, tahnik bayi, mengadakan kuliah agama, mengendalikan kelas mengaji dan
macam-macam lagi.
Dengan kata lain, imam perlu bersedia untu
bertugas bila-bila masa sahaja. Kerja-kerja lain perlu disampingkan apabila ada
anak mukim perlukan tugas imam.
Tugas imam sedikit berkurangan jika ada
imam muda, boleh bergilir-gilir dan susun jadual bertugas. Lagi bernasib baik
jika masjid yang ada pungutan atau tabung yang banyak, boleh lantik imam solat
berjemaah. Imam hanya datang pada waktu-waktu tertentu sahaja. Masa lain mereka
boleh melakukan tugas untuk mencari rezeki untuk memenuhi keperluan keluarga.
Jadi, jangan pandang tugas imam mudah.
Banyak cabaran dan perlukan sepenuh perhatian tenaga dan masa. Janganlah
mencari-cari kesalahan imam semata-mata, tetapi pada masa sama, imam jangan sengaja
ambil peluang untuk bersenang-senang.
No comments:
Post a Comment