Islam dengan tegas telah menggesa
para pemerintah melakukan keadilan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan
apabila kamu menghukum di antara manusia, maka hendaklah kamu berlaku
adil." (Surah An-Nisa 5: 58).
Ayat ini pada mulanya menyentuh
tentang hukuman yang dijatuhkan, tetapi tidaklah dirgukan bahawa pengertiannya
meliputi keadilan di dalam politik dan di dalam mengurus pentadbiran yang
berhubung dengan rakyat jelata, jadi tidak seharusnya pengertian ayat tersebut
dibataskan.
Ia merupakan satu bentuk keadilan
yang tidak mirip sebelah dan tidak terpengaruh dalam ikatan keluarga atau kasih
sayang, juga tidak terpesong oleh desakan perasaan benci atau permusuhan.
Dalam ayat lain, firman Allah SWT
yang bermaksud: "Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku
adil, walaupun ia adalah kerabatmu." (Surah al-Anam, ayat 152).
Firman Allah SWT dalam surah
al-Maidah, ayat kelapan pula bermaksud: "Dan janganlah sekali-kali
kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku adil, berlaku
adillah kerana ia lebih dekat kepada takwa."
Di samping itu Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: "Individu yang paling dikasihi Allah SWT pada hari kiamat
dan yang paling hampir kepada-Nya ialah seorang imam yang berlaku adil, dan
orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan menerima seksaan yang
paling pedih ialah seorang imam yang berlaku zalim." (Hadis riwayat
Bukhri, Muslim dan Tirmizi)
Justeru itu, jelas bahawa keadilan
yang dimaksudkan di sini ialah keadilan yang dilakukan oleh golongan
pemerintah, dan bukan hanya terbatas kepada keadilan moral yang tegak di atas
konsep perimbangan dan kesederhanaan.
Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh melakukan keadilan dan kebajikan."
(Surah an-Nahl, ayat 90)
Sementara al-Quran dan hadis
mewajibkan ke atas para pemerintah untuk melakukan keadilan, maka di pihak yang
lain pula ia mewajibkan ke atas rakyat jelata untuk melahirkan rasa taat serta
patut mengikut peraturan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan
kepada pemerintah dari kalangan kamu." (Surah an-Nisa, ayat 59).
No comments:
Post a Comment