Memandangkan perjudian bola sepak melibatkan pertaruhan yang
besar, maka penganjur judi sanggup berbelaja besar untuk merasuah pemain
menentukan keputusan perlawanan.
Pemain yang didekati penganjur perjudian biasanya mudah tergoda
dengan tawaran lumayan diberikan. Sedangkan tugas mereka 'mudah' kerana hanya
perlu melakukan sedikit kesilapan di padang bagi membolehkan lawan menyumbat
gol.
Dalam keadaan 50-50 untuk melakukan sesuatu tindakan, pemain
tidak dipersalahkan jika berlaku sesuatu yang menyebabkan lawan mendapatkan
gol.
Kes rasuah bola sepak tentu sekali mengecewakan peminat. Mereka
ingin pasukan kesayangan menang dalam setiap perlawanan, namun berlaku
sebaliknya disebabkan pemain menerima rasuah.
Peminat boleh menerima kekalahan jika memang lawan lebih kuat
atau nasib tidak menyebelahi mereka. Tetapi, apa yang berlaku nampak sangat
seperti sengaja menempah kalah.
Bola sepak negara kita telah memasuki era profesional. Setiap pasukan
diuruskan dengan perbelanjaan besar. Pemain diberi bayaran yang agak lumayan. Namun,
jika gejala rasuah ini berterusan, nasib bola sepak di negara kita akan terus ketinggalan.
Gejala rasuah dalam liga bola sepak negara sebenarnya bukan baru.
Saban tahun, ada sahaja berita mengenai tangkapan dan dakwaan yang dibuat ke
atas pemain, jurulatih mahupun pegawai pasukan.
Senario yang berlaku itu sudah pasti memberi gambaran bahawa
arena bola sepak negara masih belum ‘bersih’ daripada gejala tidak bermoral
tersebut.
Negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah dalam sukan bola
sepak pada tahun 1994 dan 1995. Ketika itu, lebih 100 pemain serta jurulatih
yang disyaki mengatur keputusan perlawanan ditahan pihak berkuasa untuk disoal
siasat.
Akibatnya, sebahagian daripada mereka dikenakan hukuman gantung
daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak seumur hidup dan ada pula
yang dibuang daerah.
Sikap tamak sehingga ‘dibutakan’ oleh kemewahan wang ringgit
menjadi antara punca utama gejala rasuah sukar dibendung.
Tiada isu gaji yang boleh dipersoalkan kerana rata-rata pemain
yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika ini memperoleh pendapatan
lumayan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus mengenakan hukuman
gantung seumur hidup terhadap pemain yang didapati bersalah terlibat dengan
gejala rasuah.
FAM mempunyai kuasa berdasarkan klausa tertentu bagi menjatuhkan
hukuman mengikut kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh seseorang pemain.
Antara modus operandi rasuah dalam bola sepak adalah bookie akan
mendekati pemain atau seseorang individu dengan menawarkan ganjaran yang
lumayan .
Bookie juga akan bekerjasama dengan ‘orang dalam’ untuk
memudahkan urusan dalam setiap pertaruhan dalam perjudian mereka.
Rata-rata pemain kini tidak memikirkan masa depan mereka dalam
sukan bola sepak kerana lebih lebih terpengaruh dengan kehidupan mewah.
Ttindakan undang-undang yang setimpal wajar dikenakan kepada
mana-mana pemain atau individu yang terlibat.
Sebagai pemain profesional, mereka perlu bijak menilai baik dan
buruk dalam mengembangkan karier bersama pasukan masing-masing. Mereka perlu
sedar bahawa rasuah akan menyebabkan karier yang dibina selama ini akan tamat
begitu sahaja.
facebook,com
ReplyDelete