Terdapat
pihak memandang rendah terhadap wanita. Wanita diperlekehkan
kedudukan dan hak. Ini termasuk di kalangan umat Islam sendiri. Golongan anti
wanita cuba sedaya upaya menggunakan fakta lemah dan hadis palsu sebagai dalil
dakwaan mereka.
Antara hadis palsu yang tersebar
luas membawa maksud: “Mintalah pendapat wanita dan lakukan sebaliknya.” Satu
lagi hadis palsu bermaksud: “Wanita itu keseluruhannya jahat, dan kejahatan
yang paling besar ialah kaum lelaki tidak dapat melakukan kejahatan tanpa
mereka (wanita)”.
Kedua-dua
hadis palsu itu membayangkan betapa wanita tidak bijak dan hanya mendatangkan
keburukan. Bahkan, wanita dianggap tidak wajar diajar tentang apa-apapun. Untuk
menyokong alasan itu maka digunakan hadis palsu: “Jangan ajarkan wanita
bagaimana membaca dan menulis kerana mereka akan menggunakan ilmu itu untuk
melakukan sihir.”
Sesiapa
yang terbuka fikirannya tentu dengan mudah dapat mematahkan hadis palsu itu. Perhatikan
pertentangan dengan hadis sahih yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib ke
atas setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.” - (Hadis riwayat
Muslim).
Allah
SWT memerintahkan agar manusia membaca. Sumber ilmu terbesar adalah daripada
Al-Quran. Dalam dunia moden hari ini kemahiran membaca dan penguasaan ilmu amat
penting untuk kehidupan yang sempurna. Sebab itu, ayat pertama diturunkan
adalah berkenaan membaca.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari
segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang mengajarkan dengan pena
pengetahuan yang manusia belum ketahui.” (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).
Perintah
Allah SWT itu termasuk kepada wanita. Wanita juga dituntut membaca al-Quran
sebagai salah satu ibadah dan mencari keredaan Allah SWT. Jika wanita dilarang
diajar membaca, ia bertentangan dengan perintah Allah SWT.
Ternyata
hadis melarang diajarkan membaca dan menulis kepada wanita adalah palsu. Jika wanita tidak tahu membaca, bagaimana mereka ingin membaca al-Quran.
Sesungguhnya
Allah SWT tidak menyekat kebebasan berdasarkan jantina. Sesiapa saja berhak
melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan keluarga.
Firman
Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 124 bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan
amal salih, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, mereka akan
masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan
balasannya) sedikit pun.”
No comments:
Post a Comment