Saturday, 8 March 2025

LANDASAN KERETA API PERTAMA DIBINA DI MALASIA

Pada 21 Julai 1869, Maharaja Abu Bakar telah berkenan merasmikan pembinaan landasan kereta api yang menghubungkan Johor Bahru dan Gunung Pulai. Majlis tersebut telah dilaporkan oleh akhbar The Straits Times keluaran 24 Julai 1869.

Landasan sepanjang 32 kilometer ini dibina sepenuhnya menggunakan kayu termasuk pelapik dan kunci landasannya yang juga dikenali sebagai “landasan kereta api kayu”. Pada ketika Johor sememangnya kaya dengan khazanah kayu-kayan yang berkualiti. Kerja pembinaannya dilaksanakan oleh pekerja Melayu dan Jawa.

Landasan kereta api itu dibina bermula dari Kampung Kereta Asap yang terletak berhadapan Istana Besar yang ada sekarang melalui sebuah perkampungan atas air yang terletak berhampiran Hospital Sultanah Aminah (ketika itu hospital belum wujud), Skudai dan berakhir di Gunung Pulai.

Kampung yang dibina di atas air itu dihuni oleh orang Melayu. Apabila kerja pembinaan landasan hendak dimulakan, sebahagian penduduk dipindahkan ke kampong Tarom dan sebahagiannya ke Kampung Baru di Jalan Abdul Samad. Kedua-dua kampong ini masih wujud sehingga ke hari ini.

Gunung Pulai dipilih berdasarkan wawasan ekonomi Maharaja Abu Bakar yang berpandangan bahawa kewujudan sistem pengangkutan seperti kereta api akan membolehkan pembukaan ladang gambir dan lada hitam di sepanjang laluan.

Selain itu, ketinggian Gunung Pulai 610 meter dari aras laut sesuai dijadikan pusat peranginan. Kereta api akan digunakan bagi membawa pelancong ke sana kerana pada ketika itu tiada jalan raya.  

Pembinaan landasan kereta api daripada kayu ini adalah untuk kegunaan pengangkutan penduduk Johor, selain dapat meningkatkan aktiviti ekonomi dan memajukan negeri Johor.

Lokomotif yang digunakan di atas landasan kereta api kayu itu dibeli dari London pada 1874.

Pada tahun 1879,  Thomas Heshop Hill melaporkan dalam The Singapore Times bahawa kerja-kerja pembinaan dihentikan ekoran tragedi lokomotif tergelincir dari landasan ketika diadakan sesi percubaan. Salah satu sebab yang dikenal pasti ialah serangan anai-anai terhadap kayu landasan.

Dengan kata lain, landasan kereta api kayu itu tidak digunakan secara rasmil.  Atas sebab itu (agaknya) dalam catatan sejarah kereta api di Malaysia tidak menyebut landasan kereta api kayu itu sebagai landasan kereta api pertama. Sebaliknya, landasan kereta api Taiping ke Pelabuhan Weld yang mula digunakan pada 1 Jun 1885 dianggap sebagai landasan kereta api dan perkhidmatan kereta api yang pertama di Malaysia.

Gambar - Gunung Pulai

No comments:

Post a Comment