Wednesday, 14 February 2018

BAHAN BAHAYA DALAM UBAT TENAGA LELAKI

Lelaki dinasihatkan berhati-hati mendapatkan ubat tenaga batin. Berdasarkan pemeriksaan pihak berkuasa, banyak ubat tenaga batin sama dalam bentuk pemakanan tambahan, vitamin mahupun minuman kesihatan sebenarnya mempunyai unsur atau kandungan boleh membahayakan kesihatan.

Menggunakan tagline kuat, besar, panjang, dayung sampai sejam, pasti isteri tersenyum dan sebagainya banyak mengisi laman sosial dengan gambar ghairah dan menggoda.

Rata-rata si penjual menyatakan produk hebat mereka berasaskan herba selamat digunakan. Jenama dipasarkan atas nama makanan tambahan atau minuman kesihatan yang mana produk berkenaan tidak perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ironinya, kesan hebat yang didakwa itu bukan hasil bahan herba, sebaliknya  telah ditambah dengan ubat seperti sildenafil.

KKM telah mengesan banyak produk lelaki gagah mengandungi atau dicemari dengan ubat sildenafil. Kebanyakkan produk ini adalah diklasifikasikan sebagai makanan atau minuman.

Sildenafil sejenis ubat tergolong dalam kumpulan farmakologi Phosphodiesterase 5 (PDE5) yang merupakan ubat pertama diluluskan untuk merawat masalah gangguan ereksi atau mati pucuk dalam kalangan lelaki dewasa.

Penemuan sildenafil sebagai ubat mati pucuk berlaku secara tidak terancang. Sildenafil pada asalnya dibangunkan oleh syarikat inovator untuk rawatan penyakit tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Semasa ujian klinikal, penyelidik mendapati bahawa ubat tersebut lebih berkesan untuk mengatasi masalah gangguan ereksi daripada rawatan sakit jantung. Oleh itu pada tahun 1998, Food and Drug Authority (FDA) Amerika Syarikat telah meluluskan sildenafil sebagai ubat untuk rawatan mati pucuk.

Mungkin ada mempersoalkan, kalau sildenafil telah diluluskan sebagai ubat merawat lemah tenaga batin, mengapa pula dilarang digunakan dalam pemakanan tambahan atau produk meningkatkan prestasi tenaga batin?

Sebenarnya sildenafil hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh seorang doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi (surat ubat daripada doktor).

Ubat sildenafil ini hanya boleh didapati melalui pemeriksaan doktor adalah kerana kesan sampingnya terhadap fungsi jantung yang boleh membahayakan kesihatan malah boleh membawa maut kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan.

Dengan kata lain, penggunaan sildenafil yang tidak merujuk kepada doktor boleh mendatangkan bahaya. Maka, sebab itu ia dilarang digunakan tanpa pengawasan pakar.

No comments:

Post a Comment