Wednesday, 7 February 2018

REZEKI UJIAN BERSYUKUR


Rezeki yang diperoleh adalah satu ujian daripada Allah dalam menentukan sama ada bersyukur dan digunakan ke arah kebaikan atau sebaliknya.  Orang bersyukur menghargai rezeki diperoleh dan berusaha memanfaatkan untuk kebaikan diri sendiri, keluarga dan dibelanjakan ke jalan Allah.

Dalam keadaan ekonomi terbuka yang terpengaruh kadar turun baik yang tidak menentu, setiap sen yang dibelanjakan perlu difikirkan apakah manfaat yang diperoleh.  Kita perlu melihat lebih jauh ke hadapan apakah akan terjadi jika keadaan ekonomi mengalami kegawatan.

Persiapan awal mengelak daripada terperangkap kemelut ekonomi yang bukan saja dialami oleh golongan miskin, bahkan ramai orang kaya terpaksa berdepan dengan kebankrapan.  Jika tidak bijak mengurus perbelanjaan, jumlah wang yang banyak boleh lesap dalam masa yang singkat.

Sikap berbelanja boros turut mendatangkan keburukan kepada negara.  Permintaan yang lebih tinggi daripada penawaran akan mangakibatkan inflasi.  Keadaan inflasi yang terlalu tinggi boleh menyebabkan negara muflis dan kesejahteraan hidup rakyat tidak terbela.

Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, keseimbangan penawaran dan permintaan amat penting bagi menjamin persekitaran ekonomi yang sihat.  Aspek kesederhanaan yang ditetapkan dalam Islam adalah mekanisma terbaik untuk mengawal keseimbangan ekonomi.

Suami sebagai ketua keluarga perlu bijak mengawal ekonomi keluarga.  Menjadi tanggungjawab suami menyediakan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, pakaian dan keperluan lain mengikut kemampuan.

Rasulullah menunjukkan contoh yang baik di mana baginda sentiasa melihat jauh ke hadapan bagi memastikan keperluan keluarga tidak terjejas.  Diriwayatkan Rasulullah pernah membeli kurma yang genap untuk bekalan setahun bagi keluarganya.

Namun, ketika mana kurma itu diperlukan untuk disedekahkan kepada orang miskin yang memerlukan makanan, Rasulullah lebih mengutamakan sedekah.  Keperluan semasa lebih diutamakan, sedangkan keperluan masa depan boleh diusahakan untuk memenuhinya.  

Sesungguhnya sesiapa mempunyai kemampuan untuk membantu orang lain yang memerlukan bantuan, maka wajib baginya menghulurkan bantuan itu.  Bagaimanapun, bantuan itu tidak pula sehingga mendatangkan beban dan masalah kepada diri dan keluarga sendiri.

Firman Allah dalam surah al-Isra, ayat 26 bermaksud: “Dan berilah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing.”

Biarpun Islam menuntut umatnya mengamalkan sikap berjimat cermat, tetapi tidaklah pula bermakna sehingga tidak membelanjakan langsung rezeki diperoleh.  Rezeki yang dianugerah Allah perlu digunakan dan dengan itu akan melahirkan rasa bersyukur, serta mendapat manfaatnya. 

Sesiapa tidak membelanjakan apa yang diperoleh tidak akan mendapat apa-apa kebaikan daripada harta itu.  Apabila meninggal dunia, harta yang disimpan dan disayang akan menjadi habuan orang lain.  Harta kekayaan tidak dibawa ke alam kubur.  Untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat, harta perlu dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah.

Sesiapa menggunakan rezeki kepada tujuan kebaikan dan bersyukur dengan rezeki diperoleh, maka Allah menambahkan lagi rahmat-Nya.  Rezeki tidak hanya semata-mata dalam bentuk harta dan kekayaan, tetapi mungkin juga dalam bentuk keberkatan dan kegembiraan.

No comments:

Post a Comment