Berjimat. Mengamalkan sifat jimat cermat
dalam menjalani kehidupan dapat menjamin kehidupan yang berkualiti secara
berterusan. Islam menggalakkan agar yang
baik berterusan dilakukan atau dinikmati, dan bukannya hanya pada ketika
tertentu sahaja.
Untuk mengamalkan sikap berjimat
cermat harus ada perasaan bersyukur dengan rezeki diperoleh. Orang yang bersyukur sentiasa menghargai apa
diperolehnya dan menggunakan dengan cara berjimat.
Berlebih-lebihan biasanya mengundang
banyak masalah. Berbelanja secara tanpa
mengambilkira keperluan sebenar menyebabkan banyak sumber dibazirkan yang
sepatutnya dapat digunakan pada masa lain.
Berhemah. Rezeki yang dikurniakan Allah
tidak dalam jumlah yang sama. Adakala
jumlah yang diperoleh berlipat ganda berbanding biasa. Sedangkan pada masa lain mungkin kerugian
yang ditanggung.
Oleh itu, sifat berhemah dalam
menguruskan rezeki yang diperoleh perlu diutamakan. Ketika memperoleh pendapatan lebih tidak pula
bermakna turut melebihkan perbelanjaan. Sebaliknya amalan menabung adalah langkah bijak sebagai persiapan
kegunaan masa hadapan.
Sabda Rasulullah bermaksud:
“Simpanlah sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu,
kerana itu jauh lebih baik bagimu.” (Hadis riwayat Bukhari).
Menyimpan sebahagian daripada rezeki
yang diperoleh adalah untuk menghadapi kemungkinan kekurangan pendapatan pada
masa hadapan. Wang yang disimpan dapat
digunakan untuk memenuhi keperluan tertentu dan terdesak tiada sumber kewangan
lain.
Bersederhana. Islam mengajar umatnya agar
mengamalkan sikap bersederhana. Sikap
terlalu kedekut dan terlalu boros ditegah dalam Islam. Golongan itu mendapat kerugian di dunia dan
menanggung penyesalan di akhirat.
Larangan sikap terlalu kedekut
dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu
menggenggam (terlalu kedekut dan tidak mahu bersedekah) dan jangan terlalu
memberi sehabis-habisnya, nanti engkau jadi tercela dan menyesal.” (Surah
al-Isra, ayat 29).
Sikap kedekut dan teramat sayangkan
harta menyebabkan hidup lebih tertekan dan mendatangkan masalah. Orang kedekut teramat sayang harta yang
dimilik hinggakan tidak ingin berbelanja walaupun untuk diri sendiri. Sikap kedekut adalah penjara yang menghalang
pemilik harta daripada menikmati apa yang sepatutnya.
Manakala tegahan berbelanja dengan
berlebih-lebihan pula dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang
yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan." (Surah
al-Furqan, ayat 67).
Tegahan melakukan perbuatan membazir
banyak disebut dalam al-Quran dan hadis. Tegahan yang dinyatakan berulang-ulang itu memberi amaran betapa
buruknya perbuatan itu. Islam
mementingkan kehidupan berkualiti yang berterusan.
Syaitan sentiasa memperdaya manusia
agar melakukan perbuatan buruk agar manusia menanggung kerugian. Syaitan sentiasa membisikan perasaan
melampau, sama ada terlampau boros atau terlampau kedekut.
No comments:
Post a Comment