Wednesday 30 August 2023

SEJARAH UNISHAMS BERMULA SEBAGAI INSANIAH

 
Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang berdaftar di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia KPT/JPS/DFT/US/K03 dan dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Kedah.
 
Sejarah penubuhan UniSHAMD bermula sebagai Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH). Ia ditubuhkan menurut Enakmen Bil. 4 tahun 1995 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 22 Jun 1995.
 
Idea penubuhan INSANIAH ini tercetus apabila pada tahun 1993 dua orang pegawai tinggi kerajaan negeri, iaitu Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Sukri Hashim, Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah (YIK) telah mengadakan lawatan ke Kaherah, Mesir, untuk meninjau pelajar Kedah yang menuntut di Univesiti al-Azhar dan meneliti kebajikan mereka.
 
Bermula dari sini, timbul cadangan untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri, mewujudkan sebuah pusat pengajian tinggi Islam di negeri Kedah.
 
Sehubungan itu, Menteri Besar Kedah, Tan Sri Datuk Sri Osman Arof telah mengarahkan agar dibuat satu kertas kerja yang berkonsepkan penubuhan institut pengajian tinggi Islam di Kedah yang melaksanakan satu program berkembar dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.
 
Bagi menerus dan menyempurnakan hasrat ini, Yayasan Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEIK) telah diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk membuat kertas kerja awal.
 
DUN Kedah kemudiannya telah meluluskan penubuhan INSANIAH ini, pada 7 Disember 1994 di bawah enakmen Bil 4 Tahun 1995 dan kemudiannya diutarakan pada 22 Jun 1995.
 
INSANIAH merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi Islam di negeri ini yang menjalankan program pengajian Islam secara berkembar dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.
 
Pada peringkat awal penubuhannya ia hanya menawarkan peringkat pengajian ijazah pertama iaitu di dalam bidang Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab. Tenaga pengajarnya pula pada ketika itu hanya sembilan orang pensyarah yang bertaraf Profesor Madya yang terdiri daripada enam orang daripada Universiti Al-Azhar, seorang daripada Indonesia dan dua orang daripada Malaysia. Jumlah pengambilan pertama seramai 43 orang pada sesi 1995/1996.
 
Pada mulanya INSANIAH telah ditempatkan di kampus sementara di No 45, Lorong Perak 18, Seri Mergong, 05150 Alor Setar Kedah. Kampus ini terletak di kawasan Taman Perindustrian Ringan Mergong, lebih kurang 1.5 Kilometer daripada bandar Alor Setar, Kedah Darul Aman.
 
Pada 8 April 2006, INSANIAH terus mengorak langkah apabila menerima surat tawaran naik taraf menjadi kolej universiti. Surat tersebut diserahkan sendiri oleh Dato' Mustafa bin Mohamad, Menteri Pengajian Tinggi kepada Rektor KUIN dan disaksikan oleh Menteri Besar Kedah.
 
Kemudian, pada 15 Mei 2006 INSANIAH melakar sejarah baru apabila secara rasminya telah dinaik taraf sebagai Kolej Universiti Insaniah (KUIN). KUIN ditadbir oleh sebuah badan eksekutif yang dikenali sebagai Lembaga Pengarah KUIN yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah.
 
Pada tanggal 8 Februari 2018, merupakan detik yang paling dinanti-nantikan oleh warga KUIN yang mana pada tarikh ini KUIN telah diberikan perakuan pendaftaran universiti penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan KUIN kini dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).
 
UniSHAMS terus menaikkan imej Kedah sebagai pusat pengajian Islam yang terulung di rantau ini apabila dianggap oleh Universiti al Azhar sebagai cawangannya di Asia Tenggara. Hal ini menarik lebih ramai pelajar warga asing untuk menyambung pengajian di sini seperti dari Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, China, Kemboja, Iraq dan lain-lain.
 
UniSHAMS kini beroperasi di Kampung Titi Panjang, Kuala Ketil, Kedah.

No comments:

Post a Comment