Permintaan untuk penggunaan cermin gelap bagi
kenderaan persendirian di Malaysia adalah amat tinggi. Namun begitu, pengguna
kenderaan masih tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak
Kerajaan.
Peraturan penggunaan cermin gelap
berdasarkan peratus ketelusan cahaya (VLT) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan
(JPJ) melibatkan pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai
Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 telah dikuat kuasa bermula 8 Mei 2019.
Penguatkuasaan peraturan ini amat melegakan
pengguna kenderaan persendirian disebabkan penggunaan cermin gelap amat
membantu penumpang kenderaan bagi mengelak haba panas dan silau yang masuk ke
dalam kenderaan, di samping lebih mengutamakan keselamatan pengguna.
Penggunaan cermin gelap mengikut
spesifikasi kadar ketelusan cahaya (VLT) yang dikeluarkan oleh Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), kemas kini pada Mei 2019 adalah seperti berikut:
- Cermin depan: 70% VLT
- Cermin sisi bahagian pemandu: 50% VLT
- Cermin sisi bahagian penumpang: Tiada had
peratus VLT – dengan syarat kenderaan mempunyai cermin sisi pandang belakang
- Cermin belakang: Tiada had peratus VLT –
dengan syarat kenderaan mempunyai cermin sisi pandang belakang
Pengguna kenderaan tidak perlu mengemukakan
permohonan penggunaan cermin gelap sekiranya penggunaan cermin gelap adalah
mengikut spesifikasi kadar ketelusan cahaya (VLT) yang dikeluarkan oleh JPJ.
Pengguna kenderaan yang ingin mendapatkan
cermin gelap berspesifikasi kadar ketelusan cahaya (VLT) yang lebih rendah di
bahagian cermin depan dan cermin sisi di bahagian pemandu perlu
mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Permohonan cermin gelap berspesifikasi VLT
lebih rendah adalah berdasarkan keperluan kesihatan dan keselamatan sahaja.
Permohonan baharu, pembaharuan dan
pertukaran bagi setiap kenderaan hendaklah dibuat secara berasingan dan
ditandatangani oleh pemohon.
Pemohon dan pemilik kenderaan perlu bebas
daripada mempunyai apa-apa kes yang belum selesai dengan JPJ dan PDRM berhubung
dengan apa-apa pelanggaran Akta APJ, ALPKP, APAD dan lain-lain Akta yang
berkaitan.
Bagi mana-mana pemilik
kenderaan yang gagal untuk mematuhi peraturan cermin gelap boleh
dikenakan hukuman denda tidak melebih RM2,000 atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi enam bulan, dan dalam hal sabitan kali kedua atau
kali kemudian, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
PENAFIAN: Maklumat yang terdapat pada
artikel ini adalah kemas kini yang terdapat pada Syarat-Syarat dan Panduan
Permohonan Penggunaan Cermin Gelap yang dikeluarkan JPJ pada 31 Disember
2021 dan penguatkuasaannya pada 1 Januari 2022. Sila rujuk laman web JPJ untuk
info penuh dan terkini.
No comments:
Post a Comment