Sunday, 28 July 2024

LUBUK Y HULU SUNGAI PERAK

 
Sungai Perak adalah sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia. Panjangnya lebih kurang 400 kilometer (km) bermula dari hutan Royal Belum dan berakhir di Beting Beras Basah sebelum keluar ke Selat Melaka.
 
Di hulu Sungai Perak bercabang dua, di mana titik pertemuan cabang dua itu dipanggil Lubuk Y. Dari lubuk ini Sungai Perak itu mengalir ke arah kiri iaitu sehingga ke mata air yang berada di bawah Gunung Lang di sempadan Malaysia Thailand, manakala satu simpang lagi menghala ke kanan menuju terus ke sempadan Perak Kelantan.
 
Di kalangan anggota tentera yang pernah bertugas di lokasi tersebut, simpang sungai itu dipanggil Sungai Merah yan menghala ke Gunung Lang dan Sungai Machang yang menghala ke sempadan Perak Kelantan.
 
Lokasi Lubuk Y dikenali “Marker November One Bar” dan satu lagi tapak pendaratan helikopter ialah “Marker Zulu One Bar”. Banyak anggota tentera yang pernah bertugas di sempadan ditempatkan di sini.
 
Kawasan tersebut, biarpun berada jauh di pedalaman, pernah wujud dua kampung iaitu Kampung Sepoh dan Kampung Gebeng. Bagaimanapun, penduduk kedua-dua kampung itu terpaksa berpindah mencari tempat lebih selamat apabila sering berdepan dengan serangan pengganas komunis.
 
Di sepanjang Sungai Merah dan Sungai Machang kerap berlaku pertempuran di antara pasukan keselamatan dan pengganas komunis pada masa dahulu. Di kawasan Sungai Merah itu iaitu di sekitar “Marker Lima” sebuah helikopter Nuri ditembak jatuh oleh pengganas komunis.
 
Tahniah kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama ada veteran mahupun yang masih dalam perkhidmatan. Jasa dan pengorbanan anda amat besar untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan sekarang. 

Gambar atas - Lubuk Y
Gambar bawah - Sungai Perak di bahagian hulu

No comments:

Post a Comment