Patriotisme adalah satu sentimen nasional
yang menekankan kepada aspek kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada
negara. Mempertahankan kedaulatan negara dan kesanggupan untuk berjuang
menggadai nyawa demi negara memperlihatkan tahap patriotisme tertinggi yang
wujud dalam diri seorang warganegara.
Patriotisme yang tinggi sangat penting bagi
setiap rakyat dalam sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan yang dicapai
sesebuah negara adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya ia bukanlah
sesuatu yang mudah. Justeru, kecintaan yang mendalam kepada negara adalah asas
utama untuk memastikan negara terus bebas dan merdeka daripada sebarang bentuk
penjajahan.
Era awal selepas kemerdekaan mempamerkan
semangat sayangkan negara yang tinggi di kalangan masyarakat Malaysia.
Melalui pendidikan, rakyat berbilang kaum mempelajari mata pelajaran sejarah
dan sivik bagi memupuk dan menyuburkan semangat cintakan tanah air.
Kebelakangan ini sejarah negara yang
menjadi asas kepada pembentukan peradaban bangsa semakin dilupakan. Pengetahuan
dan literasi sejarah umumnya dianggap satu aset intelektual yang tidak
mendatangkan keuntungan atau bernilai perdagangan. Oleh itu, ia tidak
dipentingkan dan dianggap sekadar satu pengetahuan am.
Namun, sedar atau tidak, pendidikan sejarah
adalah aset amat penting dalam pembentukan keperibadian bangsa dan negara yang
lebih kukuh, tersusun dan terarah. Ia juga amat penting untuk membina semangat
patriotik yang semakin tandus di kalangan generasi muda kini. Justeru,
kebanyakan kita lupa bahawa negara kita pernah dijajah selama 446 tahun
(1511-1957), satu jangka masa yang amat panjang.
Pendidikan kenegaraan ini amat penting
untuk diterapkan kepada semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti
institusi pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan serta
pemimpin dan pemaju masyarakat.
Pendidikan ini juga untuk mempertingkatkan
kesedaran, penghayatan serta komitmen rakyat secara berterusan kepada wawasan
negara dan usaha ke arah kecemerlangan, mempersiapkan rakyat supaya menunjangi
dasar negara ke arah pembangunan demi kesejahteraan bangsa.
Semangat patriotisme dan kecintaan yang
tinggi kepada negara adalah benteng bagi mempertahankan kemerdekaan dan
menjamin keharmonian yang dinikmati kini dapat terus dikekalkan. Sebagai rakyat
dan juga pemimpin, pastinya tidak mahu peristiwa hitam 13 Mei 1969 serta penjajahan
kuasa asing berulang dan bertapak lagi di bumi Malaysia tercinta.
No comments:
Post a Comment