
Sejarah Perlembagaan Persekutuan bermula apabila negara dalam proses mencapai kemerdekaan. Ia bermula daripada satu persidangan perlembagaan yang telah diadakan di London pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956.
Delegasi
daripada Persekutuan yang mengandungi empat wakil pemerintah, iaitu ketua
Menteri Persekutuan Tunku Abdul Rahman dan tiga menteri, dan juga Pesuruhjaya
Tinggi British di Malaya dan penasihat-penasihatnya.
Satu
suruhanjaya dibentuk untuk membantu dan menasihat tugas merangka serta
menyiapkan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi nadi kepada sebuah negara.
Suruhanjaya
yang dianggotai pakar perundang dari luar negara dipengerusikan oleh Lord
William Reid berasal dari British. Mengambil sempena mana pengerusinya,
suruhanjaya itu dikenali Suruhanjaya Reid.
Anggota
lain dalam suruhanjaya yang dianggotrai 5 orang itu ialah Sir Ivor Jennings
juga dari British, Sir William McKell (Australia), Hakim B Malik (India) dan
Hakim Abdul Hamid dari Pakistan.
Suruhanjaya
yang dibentuk pada Mac 1956 itu melaksanakan tugas kajian dan penyusunan
laporan kira-kira lapan bulan bermula Jun 1956 hingga Febuari 1957 yang mana
perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos
1957.
Laporan
ini sebelum disahkan, terlebih dahulu dibahaskan oleh parti politik utama
negara ini dan diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu
dalam bulan Jun pada tahun 1957, kira-kira dua bulan sebelum negara mencapai
kemerdekaan.
Dalam
proses runding cara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah
mendapat keutamaan.
Memorandum
yang disebut sebagai Pakatan Murni iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi
kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh
lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama islam,
kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama
rata.
Terma
rujukan kepada Perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid
berdasarkan kepada apa yang terkandung dalam Persetujuan Persekutuan Tanah
Melayu 1948.
Dalam
Perjanjian Persetujuan Persekutuan Tanah Melayu 1948, nama
"Persekutuan" telah dicadangkan kepada Tanah Melayu yang terdiri
11 negeri, termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang dikuasi penjajah Inggeris,
menjadikan ia dikenali Persekutuan Tanah Melayu.
Perlembagaan
Persekutuan 1957 ini telah dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan
Persekutuan bagi negara Malaysia yang diisytiharkan pada 16 September 1963.
Kemasukan
Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia menyebabkan
Perlembagaan Persekutuan 1957 dipinda dan beberapa pindaan dibuat mengenai bab
pemakaian bagi negeri tersebut.
Gambar:
Tunku Abdul Rahman menandatangani perjanjian Persekutuan Tanah Melayu antara
London dan Kuala Lumpur pada 1957
No comments:
Post a Comment