Monday 11 October 2021

BERDOA HANYA KEPADA ALLAH

Doa dan tawakal hanya kepada Allah. Setiap muslim perlu sentiasa berdoa memohon pertolongan dan bantuan daripada Allah dalam apa jua keadaan dan masalah dihadapi.

Doa dalam bentuk permohonan agar diperkenankan sesuatu permintaan, sama ada mendapat kebaikan atau dijauhkan keburukan pada masa sekarang mahupun akan datang.  

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Aku akan masuk neraka dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukmin, ayat 60). 

Sudah menjadi fitrah manusia hidup dalam keadaan sering mengharapkan perlindungan dan pertolongan Yang Maha Kuasa, apalagi kedudukannya sebagai makhluk di hadapan Khaliqnya (PenciptaNya).

Kerana tabiat manusia itu adalah lemah dan tidak berdaya dari semua aspek. Kelemahan dan ketidak upayaan ini boleh diatasi jika manusia mendekat dan menyandarkan dirinya serta berlindung kepada Yang Maha Kuasa, kerana hakikat kekuatan itu secara lahir dan batinnya bersumber daripada Allah SWT.

Oleh yang demikian, manusia tidak boleh terpisah dari Tuhannya, maka manusia perlu mendekatkan diri kepadaNya dengan menyembah dan mengingatiNya di setiap waktu dan tempat. 

Sedangkan wasilah (cara) untuk mendekatkan diri tersebut adalah melalui perantaraan ‘doa’, sebab dengan berdoa membuktikan penghambaan kepada Allah SWT.

Orang yang selalu berdoa bererti dia mengetahui hakikat dirinya dan hakikat Penciptanya yang mesti disembah dan ditaati, seperti ungkapan seorang ulama salaf: “Siapa mengenal dirinya pasti dia mengenal Tuhannya.” 

Gambar: Riadah di Pantai Nusuk, Kampung Tanjung Kuala Sabak. Sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment