Saturday, 31 July 2021

Bergu Aaron Chia-Soh Wooi Yik sumbang gangsa Sukan Olimpik 2020

Skuad badminton memastikan mereka tidak pulang tangan kosong selepas beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul pingat gangsa dalam acara beregu lelaki di Sukan Olimpik 2020.

Gangsa yang menjadi pingat pertama buat kontinjen negara pada temasya kali ini diraih selepas mereka menumbangkan gandingan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 pada penentuan pingat gangsa dalam aksi hampir satu jam di Musashino Forest Sport Plaza.

Malah, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan adalah pasangan dari Indonesia yang kedua menjadi 'mangsa' beregu negara pada temasya kali ini selepas mereka menumbangkan pasangan nombor satu dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon di suku akhir.

Pingat gangsa buat beregu negara itu sememangnya satu pencapaian yang amat membanggakan apatah lagi ini adalah penampilan pertama mereka pada temasya berprestij itu.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad badminton dilakar pada temasya Olimpik Rio lima tahun lalu yang menyaksikan mereka menghadiahkan tiga pingat perak buat negara.

Tiga pingat itu disumbangkan oleh Datuk Lee Chong Wei menerusi acara perseorangan lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).


No comments:

Post a Comment