Saturday 7 August 2021

PUNCA PERTEMPURAN HEBAT SEMUT MERAH DAN HITAM

Satu analogi mengenai pergaduhan sekumpulan semut hitam dan semut merah. Dalam komuniti semuat, semua jenis semut hidup dengan saling menghormati. Setiap jenis semut ada kelebihan atau kekuatan masing-masing.

Namun, semut ada satu perangai tidak tahan dengan provokasi. Mulalah ingin mengalahkan antara satu sama lain.

Kisahnya, sekumpulan semut merah dan semut hitam telah diletakkan di dalam satu bekas. Ketika mula-mula berada di dalam bekas, kedua-dua jenis semut itu tenang biarpun berasa satu kelainan berbanding dengan tempat tinggal biasa mereka.

Kemudian, bekas itu digongcang dengan kuat. Semut yang berada di dalam bekas mula panik.

Apabila bekas itu tidak lagi digongcang, kelihatan ada semut hitam dan semut merah yang mati.

Melihat kepada keadaan itu, timbul perasaan curiga antara kedua-dua kumpulan semut itu.

Semut hitam berfikir bahawa semut merahlah yang membunuh rakan mereka. Sebaliknya, semut merah pula berfikir kawan mereka mati disebabkan semut hitam.

Akibat rasa curiga, kumpulan semut itu saling menyerang antara satu sama lain sehingga semakin banyak yang mati. Menang jadi arang, kalah menjadi abu.

Hakikatnya, kedua-dua kumpulan itu menjadi mangsa keadaan. Musuh yang sebenarnya adalah orang yang menggoncangkan bekas tersebut.

Disebabkan masing-masing terancam, kumpulan semut itu tidak sempat berfikir perkara sebenar. Sebaliknya, terus menyerang antara satu sama lain.

Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita. Kumpulan atau individu yang asalnya hidup saling menghormati dan berkerjasama bertukar menjadi musuh gara-gara ada campurtangan pihak lain.

Musuh sentiasa mengambil peluang untuk melaga-lagakan kumpulan yang berhubung baik.

Justeru, jika ada sesuatu yang tidak kena dalam perhubungan, jangan mudah bertindak membabi buta. Selidik dahulu apa yang sebenarnya berlaku. Kalau ada yang tidak kena, sama-sama belapang dada memperbaikinya.

Jangan mudah menjadi mangsa kepada perancangan jahat pihak lain.

No comments:

Post a Comment