Sunday, 18 July 2021

PEMIMPIN CINA TIDAK MESTI FASIH MANDARIN

Nama saya Pamela Yong. Itu sahaja.

Ramai yang tanya, kenapa saya berketurunan Cina tetapi tidak boleh bertutur Mandarin?

——————————————

Saya menerima pendidikan awal di sekolah kebangsaan. Justeru, Bahasa Melayulah yang menjadi bahasa ibunda kedua saya setelah Hakka.

Saya terus terang di sini, saya kurang fasih bertutur dan bertulis dalam Mandarin.

Ramai juga khuathir akan kelayakan saya sebagai seorang pemimpin MCA, tanpa kebolehan dalam Mandarin.

Jawapan saya mudah. Ianya satu jawapan menyoal: Kenapakah harus saya fasih dalam Mandarin untuk melayakkan diri sebagai pemimpin MCA?

Saya selalu memperingatkan mereka yang bertanyakan soalan ini bahawa, tanah air kita adalah Malaysia, dan bukannya Tanah Besar China.

Ramai yang tidak sedar bahawa pengasas parti MCA, mendiang Tun Sir Tan Cheng Lok pun tidak memahami dan tidak boleh bercakap dalam Bahasa Mandarin.

Mendiang adalah seorang peranakan yang berasal dari Melaka. Tanpa penguasaan dalam Bahasa Mandarin, beliau telah menubuhkan Malaysian Chinese Association dan berjaya mendapatkan kewarganegaraan untuk kaum Tiong Hwa di Malaysia.

Juga saya ingin sebutkan, antara tujuan utama MCA ditubuhkan oleh mendiang adalah untuk melawan Parti Komunis Malaya, membantu kaum Tiong Hwa untuk mengeratkan hubungan dengan Pribumi Malaysia.

Mendiang Tun pernah berkata: "MCA mesti berkhidmat untuk semua kaum dan berminda luas."

MCA bukan “untuk Cina sahaja”, malah “untuk semua warga (Malaysia)".

Jadi, malu apa? dan tiada salahnya saya tak pandai cakap atau tulis Cina bah….

Bahasa ibunda saya adalah Bahasa Melayu dan Bahasa Hakka. Saya berbangga dapat menguasai kedua-dua bahasa ini.

Bagi ramai, Hakka hanyalah satu dialek. Tetapi bagi saya, Hakka adalah bahasa yang saya warisi daripada nenek moyang saya. Bagi saya, Mandarin pula adalah dialek Utara Beijing.

Semangat pengasas MCA, mendiang Tun Sir Tan Cheng Lok saya sentiasa sanjungi. Maka sesiapa yang khuathir akan kelayakan saya dalam parti kerana penguasaan bahasa tertentu, akan saya menjawab dengan “semangat Tun Tan Cheng Lock “

Dr. Pamela Yong

 

No comments:

Post a Comment