Saturday, 3 April 2021

Pemimpin UMNO Kelantan mendahului melepas jawatan

Ketika kepimpinan UMNO Pusat merancang untuk meletak atau melepaskan jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada Ogos depan jika Parlimen masih tidak dibubarkan, pemimpin UMNO Kelantan telah melakukan lebih awal.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa 6 Januari 2021.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang melepaskan jawatan atas prinsip memperjuangkan maruah UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Terbaharu, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman secara rasminya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd, syarikat milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berkuat kuasa serta-merta.

Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh mengumumkan perkara itu dalam Majlis Penerangan Isu Semasa di Dewan Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, di Pasir Puteh pada malam 31 Mac lalu.

"Saya berharap anggota parti yang masih lagi memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kepentingan supaya segera berbuat demikian," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Tindakan pemimpin yang tidak mementingkan diri adalah azimat pembakar semangat kepada seluruh ahli untuk terus berjuang.

No comments:

Post a Comment