Wednesday, 7 April 2021

Ahmad Zahid nafi rakaman audio dengan Anwar

 
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman antara beliau dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Malah tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, tiada sebarang perbualan antara beliau dengan Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
 
“Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.
 
“Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online di sini hari ini.
 
Ahmad Zahid juga amat kecewa dan terkejut mengenai penyebaran audio itu kononnya merakamkan perbualan antaranya dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu.
 
“Sebagai Presiden UMNO, saya tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.
 
Justeru itu, Ahmad Zahid telah mengarahkan pegawainya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini. 

UMNO ONLINE
7 April 2021

No comments:

Post a Comment