Tuesday, 13 April 2021

PEGAWAI TENTERA MEMPUNYAI KEMAHIRAN PELBAGAI BIDANG

Tugas anggota tentera tidak hanya menyiapkan diri untuk bertempur di medan perang. Pada era dunia berkembang dalam semua bidang, termasuk ledakan teknologi maklumat, anggota tentera perlu dipersiapkan dengan pelbagai ilmu kemahiran.

Justeru, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut berubah mengambil anggota, terutama di kalangan pegawai yang mempunyai pendidikan akademik di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang pengajian.

Pada peringkat awal, penglibatan anggota tentera yang berkelulusan tinggi hanya dikhususkan kepada calon pegawai tugas khas seperti doktor, jurutera, pegawai agama dan farmasi. Mereka ini akan mengikuti kursus asas tentera dalam Skim Pegawai Graduan (SPG).

Bagaimanapun, bermula SPG Siri 10, pegawai yang terlibat ditauliahkan untuk tugas am meliputi semua kor, termasuk ditempatkan di pasukan infantri.

Pegawai yang terlibat mempunyai pendidikan dalam pelbagai bidang akademik seperti perakaunan, pengurusan perniagaan, perhubungan awam, insuran, perbankan, hubungan antarabangsa dan sebagainya.

Mereka menjadi printis kepada pengambilan pegawai lepasan siswazah yang mula mewarnai dunia ketenteraan. Penglibatan pegawai lepasan siswazah membawa kepada penubuhan Akedemi Tentera Malaysia (ATMA) yang mengadakan kerjasama dengan beberapa pusat pengajian tinggi awam untuk melahirkan graduan mempunyai kelulusan tinggi.

ATMA kemudiannya dinaiktaraf menjadi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai universiti untuk melahirkan lebih banyak pegawai tentera berkelulusan tinggi.

Bagaimanapun, UPNM tidak diletakkan di bawah Kementerian Pertahanan, sebaliknya di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sepertimana universiti awam lain.

Penglibatan anggota tentera berkelulusan pengajian tinggi tidak hanya di kalangan pegawai, bahkan anggota lain-lain pangkat telah memberi nilai tambah dalam meningkatkan taraf profesional dalam ATM.


Gambar: Laporan media tamat latihan Skim Pegawai Graduan Siri 11

No comments:

Post a Comment