Kiamat pasti belaku, tetapi tidak
pasti bila. Biarpun ada pihak membuat ramalan bila akan berlaku kiamat, ia
tidak pernah berlaku sepertimana yang diramalkan.
Semua agama mempercayai ada hari
kiamat sepertimana dicatatkan dalam kitab agama masing-masing. Kepercayaan ada
hari kiamat dikaitkan dengan ada hari pembalasan yang turut dipercayai.
Biarpun orang Islam wajib
mempercayai adanya hari kiamat, tetapi tidak dijelaskan bilakah akan berlakunya
hari kiamat. Hanya Allah SWT tahu bilakah hari kaimat.
Allah SWT berfirman bermaksud:
"Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang
hari kiamat: "Bilakah masa datangnya? Apa hubungan tugasmu dengan (soal)
menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu? Kepada Tuhanmulah terserah
kesudahan ilmu mengenainya." - (Surah an-Naziat, ayat 42-44).
Perbincangan mengenai kiamat
sentiasa diramalkan oleh bukan Islam. Ramalan yang dibuat hanya berdasarkan kepada
kehendak nafsu dan pemikiran yang bukan-bukan. Ada antara yang meramal
hari kiamat semata-mata ingin mencari pengaruh dan populariti.
Sebenarnya kita lupa, kiamat
berlaku setiap hari kepada orang yang meninggal dunia. Meninggal dunia adalah
kiamat bagi orang berkenaan. Bersiaplah dengan bekalan yang baik untuk
kehidupan di akhirat. Kematian akan memutuskan peluang untuk menambah bekalan,
kecuali jika dilakukan tiga perkara ketika hidup.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Apabila seorang anak Adam mati, maka putuslah amalnya kecuali tiga
perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau
anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadis riwayat Muslim)
Kita perlu bersedia menghadapi
kiamat diri bila-bila masa. Tentang kiamat dunia tidak perlu kita fikirkan.
Hanya Allah SWT mengetahuinya. Cukuplah dengan kita percaya bahawa ada hari
kiamat.
Salah satu Rukun Iman yang wajib
dipercayai ialah Percaya Adanya Hari Kiamat. Itu memang tidak dapat diragui dan
mesti dipercayai dengan sungguh-sungguh. Pun begitu, kita tidak perlu meramal
atau mengetahui bila akan berlaku kiamat.
Pertanyaan bila berlaku hari kiamat telah diajukan kepada Rasulullah. Hal itu
dijawab oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud:
"Mereka menanyakan kepadamu
tentang kiamat: "Bilakah terjadinya? Katakanlah:
"Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku,
tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat
itu amat berat (huru-haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat
itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba.
"Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya.
Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di
sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." - (Surah
al-Araaf, ayat 187).
No comments:
Post a Comment