Thursday, 17 September 2020

BASIKAL PERLU DAFTAR LESEN


Demi menjaga keselamatan penunggang basikal daripada terdedah dengan kemalangan jalan raya, setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama se­perti kenderaan bermotor. Peraturan itu dicadangkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Respon daripada cadangan tersebut yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia, Kementerian Pengangkutan menjelaskan bahawa cadangan tersebut tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian berkenaan dan menafikan sama sekali untuk melaksanakan cadangan seperti itu.

Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh Kementerian Pengangkutan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.

Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh MIROS sebagaimana yang dilaporkan media hari ini tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya mendapat kelulusan Menteri.

Agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan perlu membuat kajian menyeluruh atau cadangan untuk analisis dan pertimbangan pengurusan kanan Kementerian Pengangkutan termasuk Pejabat Menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

Dari segi keselamatan penunggang basikal, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ dan MIROS terus mempromosikan program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal dan persatuan-persatuan yang berkaitan secara berterusan, begitu juga dengan semua pengguna jalan raya lain.

Semua penunggang atau penggemar sukan berbasikal dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan ketika berbasikal di jalan raya kerana turut terikat di bawah peraturan-peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebenarnya, ketika basikal mula diperkenalkan di Tanah Melayu, kenderaan yang dianggap mewah pada ketika itu perlu didaftarkan dengan pihak berkuasa mengikut negeri masing-masing.  

Tidak banyak maklumat yang boleh dijumpai berkenaan dengan lesen basikal ini kerana hal ini semakin dilupakan. Tidak terdapat maklumat khusus ditulis mengenai lesen basikal ini. 

No comments:

Post a Comment