Sesungguhnya, ajaran Islam amat pentingkan keamanan dan keselamatan sejagat. Justeru, mana-mana pihak melakukan keganasan, bukan menjadi sebahagian daripada perjuangan Islam. Islam tidak membenarkan cara bertentangan untuk mencapai matlamat.
Biarpun
dalam sejarah Islam, peperangan dan penggunaan senjata pernah dilakukan pada
zaman Rasulullah dan pemerintah Islam dahulu, cara dan matlamatnya jauh berbeza
dengan apa yang dilakukan oleh golongan ekstrim sekarang
Peperangan
dan kekerasan yang diharuskan dalam Islam adalah jihad mempertahankan hak,
membela kebenaran dan keadilan menurut hukum Allah. Perbuatan itu pula
dilakukan mengikut cara dan batasan yang membawa kebaikan.
Perintah
agar umat Islam berperang terkandung dalam firman Allah SWT , yang bermaksud:
“Diwajibkan ke atasmu berperang menentang pencerobohan, sedangkan peperangan
itu adalah perkara yang kamu benci.” (Surah al-Baqarah, ayat 216).
Kita
dapat membuktikan bahawa peperangan yang melibatkan umat Islam dilakukan
sekadar ‘mencapai matlamat’, dan mematuhi prinsip dan etikanya. Islam menegah
melakukan perang terhadap pihak yang tidak mampu mempertahankan diri dan bukan
tentera, seperti orang awam, kanak-kanak, orang tua dan wanita.
Biarpun
Rasulullah SAW memimpin tentera Islam lebih daripada 27 kali peperangan, ini bukan
bermakna baginda sukakan peperangan. Peperangan ada pilihan terakhir untuk
mempertahankan hak dan menegakkan kebenaran.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 190 bermaksud: “Dan perangilah atas
sabililah terhadap orang yang memerangi kamu. Dan janganlah kamu menceroboh
(memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka orang yang
menceroboh.”
Dalam
setiap kali peperangan, Rasulullah SAW sentiasa menasihatkan agar tentera Islam
berperang dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, bukan kerana tujuan lain
seperti dendam, untuk mendapat harta rampasan, memiliki tawanan perang,
mendapat kuasa dan sebagainya.
Biarpun
tentera Islam dalam keadaan kuat dan berkuasa, tentera Islam dilarang melakukan
perbuatan menyebabkan kemusnahan, melainkan sekadar apa yang bertujuan untuk
mencapai kemenangan. Selepas kemenangan dicapai, tidak harus ada lagi apa-apa
perbuatan kekerasan dilakukan.
Hal
ini dapat dilihat bagaimana peristiwa Pembukaan Kota Makkah. Tentera Islam
pimpinan Rasulullah SAW yang memasuki dan menguasi kota Makkah pada tahun ke 8
Hijrah tidak melakukan sebarang tindakan kekerasan, dan tidak sama sekali
menunjukkan perasaan angkuh, setelah penduduk Makkah tidak melakukan apa-apa
penetangan terhadap tentera Islam.
Bahkan,
Rasulullah SAW melihat penduduk Makkah dengan perasaan penuh kasih sayang,
menghormati, membawa pengharapan dan tenang.
Rasulullah tidak sekali-kali melakukan perbuatan yang bertujuan membalas
dendam terhadap penduduk Makkah yang pernah menyakiti dan mengancam membunuh
baginda.
Berbanding
dengan apa yang dilakukan oleh pelampau Islam sekarang, sasaran perbuatan
mereka ialah menyerang dan meletupkan tempat awam, rumah ibadat penganut agama
lain, dan pengebom berani mati. Sekiranya ingin berjihad, maka hendaklah
dilakukan di medan peperangan secara terbuka.
Walaupun
kedudukan umat Islam kini diancam dan terancam, bukan alasan untuk individu dan
kumpulan Islam melakukan keganasan. Tindakan ekstrim yang dilakukan sekarang
bukan mendatangkan kebaikan, atau menambah kekuatan umat Islam, tetapi apa yang
berlaku adalah sebaliknya.
Tindakan
yang dilakukan tanpa mematuhi syariat, bermakna mengikut jalan syaitan. Syaitan
sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminimum ayat 71 bermaksud: “Andaikata kebenaran itu
menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini.”
No comments:
Post a Comment