Monday, 3 February 2020

NILAI KASIH SAYANG SESAMA BINATANG

Paparan video mahupun gambar mengenai kasih sayang sesama binatang sering mendapat perhatian. Paparan yang dikongsikan melalui media sosial sering menggamit tumpuan mata melihatnya.

Perhatian yang diberikan itu tentu sekali penuh erti untuk mengajar kita tentang kasih sayang. Kalau binatang boleh menunjukkan perasaan kasih sayang, mengapa kita manusia yang berakal bertindak sebaliknya.

Manusia berhati batu seakan-akan berasa tidak bersalah melakukan perbuatan yang lebih teruk daripada binatang. Seperti tiada langsung perasaan kemanusiaan dan erti kasih sayang.

Ibu membunuh anak sendiri dan mencampakkan ke dalam tong sampah adalah lambang manusia berhati syaitan lebih buruk berbanding binatang. Tidak kisahlah apapun alasan, tiada sebab untuk ibu membunuh anak dan membuang ke tong sampah.

Gambar yang dipaparkan ini adalah bukti kasih sayang di antara binatang. Anjing yang berada di dalam lubang itu telah mati. Lubang digali pemiliknya.

Setelah bangkai diletakkan di dalam lubang, pemiliknya tidak terus mengambus atau menutup dengan tanah. Sebaliknya, seketika dibiarkan begitu sahaja.

Kemudian, dua ekor anjing yang pernah berkawan dengan anjing yang mati itu datang dan mencium bangkai yang sudah berada di dalam lubang itu seperti merantapi perpisahan itu.

Menariknya, selepas itu, seperti tidak mahu meninggalkan teman yang telah mati itu sendirian, kedua-duanya duduk di tepi lubang dengan gambaran perasaan sedih. Malah kedua-duanya terlelap ketika menemankan bangkai yang bakal ditimbus tanah itu.

Ketika tuan mengejutkan dan menyuruh meninggalkan tempat itu, kedua-duanya seperti memprotes dan tidak mahu meninggalkan. Kedua-duanya terus berada di situ sehingga keseluruhan badan bangkai itu ditutupi dengan tanah.

Itulah kisah kasih sayang sesama binatang. Jika binatang yang hanya dicampakkan dengan sedikit rasa kasih sayang dan tidak berakal melakukan aksi kasih sayang itu, mengapa kita manusia yang dikurniakan akal melakukan perkara sebaliknya sehingga hilang terus perasaan kasih sayang dan kemanusiaan daripada diri.

Semoga menjadi renungan dan pengajaran untuk kita semua.

No comments:

Post a Comment