Wednesday, 29 January 2020

BERFIKIR TENTANG KEJAYAAN

Sudah menjadi lumrah, terdapat individu yang berjaya dan sebahagian pula mengalami kegagalan mencapai seperti apa yang diharapkan. Timbul satu persoalan, mengapa ada yang gagal sedangkan mereka juga berusaha untuk berjaya? 

Sesungguhnya, permulaan kejayaan ialah apabila kita berfikir tentang kejayaan. Permulaan untuk berubah ialah berubahnya cara berfikir. Sebab itu pentingnya mengamalkan pemikiran berasaskan intelektual yang membuka minda (akal) untuk merealisasikan impian kehidupan. 

Bagi menggambarkan pentingnya akal kepada manusia pula, perkataan akal dalam al-Quran berulangan sebutannya sebanyak 49 kali yang kesemuanya mengarah manusia untuk berfikir secara ‘berakal’.

Dengan kata lain, kejayaan seseorang itu sebenarnya dicipta bergantung bagaimana cara kita berfikir dan melakukan apa yang terbaik. Minda perlu dibuka untuk perkara baru dan bersedia melakukan perkara luar biasa untuk kejayaan luar biasa. Kita adalah apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Amalkan sentiasa berkata boleh kepada kejayaan. 

Kata seorang pujangga: “Orang yang berminda kecil membicarakan mengenai orang lain; orang yang berminda sederhana membicarakan mengenai peristiwa dan kejadian; dan orang yang berminda besar membicarakan mengenai idea dan keilmuan.”

Orang yang berminda kecil sebenarnya kurang menggunakan minda. Dia lebih kerap melakukan perkara rutin dan menerima apa sahaja apa yang dikatakan orang lain. Mereka tidak mahu berfikir lebih daripada itu dengan alasan tidak mahu ‘penat’ berfikir. Biarlah orang lain fikirkan. Mereka lebih suka menjadi pak turut dan rela melepaskan peluang yang terhidang di hadapan mata.   

Sikap berminda kecil menjadi punca kepada kegagalan. Mereka tidak menggunakan potensi diri yang ada pada setiap orang. Mereka tidak memahami 'modal diri' yang dimiliki untuk meraih keuntungan hidup.

Usaha yang kecil tentunya hanya memberikan hasil yang juga kecil. Malah kebanyakan usaha kecil tidak membuahkan sebarang kejayaan kerana belum melepasi takad untuk menikmati kejayaan. Situasi itu amat merugikan kerana dengan tambahan sedikit usaha lagi akan menghasilkan kejayaan. Sebab itu kita tidak sepatutnya berhenti berusaha separuh jalan saja. 

Sesungguhnya, harga kehidupan tidak akan berubah lebih baik jika tidak mahu menggunakan minda. Keinginan melakukan sesuatu lebih baik tercetus sekiranya minda digunakan. Minda adalah kuasa atau enjin bagi badan kita. Jika enjin dihidupkan, sudah tentu pergerakan bahagian lain dapat dilakukan dengan baik.  

Sebab itu kita jangan persia-siakan kuasa minda. Jangan sampai kita disamakan dengan haiwan. Kelebihan manusia berbanding haiwan ialah kerana manusia mempunyai minda. Manusia yang tidak menggunakan minda layak disamakan dengan haiwan. Sebab itu ada perumpamaan menyebut 'bodoh macam lembu' sebagai bandingan seseorang yang hanya tahu melakukan kerja seperti disuruh oleh orang lain.  

Amat besar kerugian ditanggung oleh mereka yang mempersia-siakan anugerah minda yang paling berharga itu. Mereka yang tidak mahu berfikir tidak layak untuk menikmati kejayaan dan kebahagiaan hidup sebenar. 

No comments:

Post a Comment