Wednesday, 18 July 2018

BIMBING GOLONGAN MUDA PERKUAT JATI DIRI

Rakyat Malaysia perlu bersyukur dapat menikmat keamanan, kesejahteraan dan keselamatan di negara ini. Namum, nikmat ini tidak dijamin berkekalan. Komposisi penduduk yang berbilang kaum, agama dan budaya mudah menimbulkan konflik jika sesuatu isu tidak ditangani dengan baik.

Penekanan mendidik golongan muda menghayati jati diri mesti diutamakan. Golongan muda sebagai pewaris kepimpinan negara mesti memahami inspirasi negara. 

Sirah Rasulullah SAW memperlihatkan bagaimana baginda mendidik golongan muda menjadi pemimpin, contohnya Ali dan Zaid yang kemudiannya menjadi tokoh terkemuka Islam.

Justeru, golongan muda perlu menjauhkan diri daripada perkara akan menghancurkan hidup mereka. Antara pengaruh negatif itu ialah dadah, pergaulan bebas, lepak dan lumba haram. 

Penyertaan golongan muda dalam politik memang dialu-alukan, namun perlu diajar dengan politik matang. Golongan muda yang masih mentah mudah menerima segala macam adu domba. Keadaan itu membawa kepada amalan buruk lain yang boleh mencetuskan pelbagai kesan buruk akibat perbuatan itu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Hati-hatilah terhadap dusta dan kejahatan membawa ke neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta, dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Hadis riwayat Bukhari).

Belia sekarang tidak sempat merasai kesengsaraan hidup di bawah pemerintahan penjajah, zaman darurat dan era negara baru lepas merdeka. Mereka tidak kenal erti kesusahan jika keadaan negara kembali berada dalam keadaan kacau bilau. Sebab itu golongan muda dilihat tidak takut mengikut telunjuk pihak tidak bertanggungjawab melakukan apa sahaja sehinggakan membahayakan keselamatan negara. 

Keamanan dan kemajuan negara akan hancur jika usaha pihak tidak bertanggungjawab terus mempengaruhi pemikiran dan sikap golongan muda tidak dihalang. Pemimpin bertanggungjawab untuk mencegah perkara buruk berlaku menimpa negara.

Firman Allah SWT bermaksud: "Orang-oang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allahlah kembali segala urusan." (Surah al-Huj, ayat 41).

Satu perkara utama yang perlu diambil kira ialah komposisi rakyat negara ini berbilang kaum yang berbeza dari segi budaya, agama, taraf ekonomi dan asal usul. 

Keadaan ini umpama bom jangka yang akan mudah meletup dalam keadaan negara tidak stabil. Segala rasa tidak puas hati yang tersimpan sekian lama akan mudah diluahkan sehingga menjadi konflik kaum yang buruk. 

Musuh dari dalam dan luar negara sentiasa memerhati dan mengukur kekuatan negara ini. Sekiranya lemah, bila-bila masa sahaja ancaman akan wujud secara nyata. Sekarang tiada musuh berani mencabuli kedaulatan negara ini kerana dalam keadaan kuat. 

Kesatuan dan kekuatan negara hanya mampu dicapai jika pemimpin diberi mandat menjalankan tugas tanpa dibebani masalah yang sengaja diwujudkan oleh musuh negara. 

Rakyat bebas memilih pemimpin yang diyakini dapat menjalankan tugas sebagai pemimpin. Semua urusan negara diputuskan melalui perbincangan bagi menjamin ketelusan dan kejayaan dicapai. Perkara ini ditekankan dalam sistem pemerintahan yang diamalkan pada zaman Rasulullah SAW. 

Firman Allah dalam surah as-Syura, ayat 38 bermaksud: "Dan urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka."

Golongan muda yang mempunyai potensi menjadi pemimpin juga boleh menawarkan diri untuk menjadi pemimpin melalui pilihan raya yang dijalankan secara adil.

Budaya bertindak semseng dan keterlaluan dalam merebut kuasa bukan cara yang betul. Jika amalan itu dijadikan budaya, keadaan negara akan kucar kacir. Pemimpin yang dipilih secara demikian akan dijatuhkan dengan cara sedemikian juga kerana ia sudah menjadi budaya.

Golongan muda perlu disemai perasaan cinta kepada negara dengan mengelak diri daripada terpengaruh dengan pihak yang memperjuangan kepentingan pihak dan individu tertentu. 

Banyak sejarah mencatatkan bagaimana sesebuah negara runtuh disebabkan adanya golongan yang memperjuangkan kepentingan individu sehingga sanggup mengadaikan maruah negara.

No comments:

Post a Comment