Monday, 16 July 2018

TETAPKAN MATLAMAT BESAR UNTUK BERJAYA

Fikirkan apa akan dilakukan pada masa hadapan. Jangan takut untuk berfikir melakukan perkara hebat dan besar. Individu yang berjaya bermula dengan cara berfikir yang positif. Tetapkan satu matlamat kejayaan besar dalam tempoh tertentu. Jangan sekali-kali malu untuk bercita-cita besar kerana takut dikatakan ’Angan-angan Mat Jenin’.

Kita jangan peduli apa orang kata. Apa yang penting kita melakukan dengan perancangan dan azam yang betul. Memang kita akan ditertawakan jika apa yang ingin dilakukan itu tidak dibuat bersungguh-sungguh kemudiannya. Maksudnya, apa yang diimpikan itu mesti diusahakan seperti mana yang sepatutnya. Baru orang lain tidak akan mengelarkan kita sebagai Mat Jenin.  

Sejak kecil hinggalah dewasa, kita mendengar beribu-ribu perkataan yang memperlekehkan keupayaan kita untuk berjaya. Jangan peduli kata-kata itu, sebaliknya jadikan ia penguat semangat untuk membuktikan sebaliknya. Jangan sekali-kali menjadikan kata-kata orang memperlekehkan kita satu kenyataan. 

Ramai orang yang bertindak menjatuhkan harga diri sendiri tanpa mencuba, akhirnya impian mereka hancur berkecai dan tidak dapat dibentuk kembali. Mereka hilang keyakinan diri kerana percaya kepada kata-kata orang lain. Tetapi, mengapa pula kita tidak percaya kepada kata-kata semangat yang diucapkan oleh orang yang ingin melihat kita berjaya.

Azam dan tekad untuk menjadi berani, kuat dan berkuasa mesti lahir daripada kesedaran yang jitu terhadap perubahan. Sebarang kelemahan diatasi dengan membina dan mengukuhkan azam sedikit demi sedikit supaya lahir keyakinan untuk bertindak.

Kekuatan tidak hadir secara mendadak dan terus mencapai kejayaan. Kita perlu berusaha secara berterusan dan mendapat kejayaan yang memberi keyakinan semakin tinggi. Sekiranya kegagalan yang terpaksa ditempuh, ia akan lebih memberi kekuatan pada diri. Kegagalan adalah guru yang akan menunjukkan jalan kepada kejayaan lebih berharga selagi kita tidak berputus asa dan terus berazam untuk mencapai apa yang diingini.

Masa menanam azam, sudah tentu motivasi untuk mencapainya berada pada tahap tertinggi. Tetapi, apabila ada halangan atau masa berlalu, ia akan menurun. Jadi, untuk mengatasi masalah itu, motivasi yang menurun itu perlu ditingkatkan semula dengan menanam dan menyuburkan azam sepanjang masa.  

Azam dan semangat adalah seperti ombak dari tengah lautan luas yang sepanjang perjalanan menuju pantai ada turun naiknya, tetapi tetap diteruskan sehingga mencapai puncak tertinggi apabila sampai menghempas pantai. 

Disiplin diri adalah satu mekanisme memajukan diri yang wajar diberi perhatian. Tentunya ia bukan ubat bagi segala masalah yang ada pada setiap orang. Namun, cabaran-cabaran dalam mendisiplinkan diri, jika dapat diatasi, bakal menjadi pendorong kepada usaha meningkatkan kualiti diri.

Disiplin diri dapat memperkasa sebarang kelemahan diri. Ia dapat menekan sifat malas, membazir masa dan tidak peduli. Tambahan pula, jika digabungkan dengan sifat sabar, berorientasi matlamat dan perancangan, kombinasi sifat-sifat ini dengan disiplin diri akan memzahirkan individu yang serba-serbinya hebat.

Bergantung kepada diri sendiri, azam hanya akan digerakkan apabila kita mengangkat kaki dan menghayunkan tangan untuk melaksanakannya. Azam akan layu jika punggung kita berada kukuh di atas pangkin kerana tidak mungkin kejayaan dizahirkan tanpa berbuat apa-apa.

Berusahalah untuk memperoleh apa yang telah kita azamkan dan kita impikan.  Pada masa yang sama, teruskan usaha untuk menjayakan impian lama yang belum tercapai. Tidak tepat jika ada pihak mengatakan kita tidak boleh membuat impian baru selagi impian lama tidak tercapai. Jika itulah keadaannya, bermakna kita tidak akan berubaha selagi azam lama tidak tercapai. 

Jangan biarkan azam lama menjadi penghalang kepada azam baru. Lainlah jika azam lama itu mempunyai kaitan dengan tampoh masa yang sudah berlalu atau keadaan yang tidak membolehkan azam itu ditunaikan. Kita perlu berusaha untuk melakukan yang terbaik ketika masa dan peluang masih ada. Usah bertangguh lagi. Anggaplah inilah peluang terakhir untuk kita melakukan apa yang diingini. 
 
Ingatlah, permulaan kejayaan dalam setiap usaha adalah bermula kejayaan berfikir bahawa kita akan mendapat kejayaan. Sikap ragu dan tidak yakin kepada keupayaan diri akan membawa kepada kegagalan.

Sebenarnya kita akan melakukan apa yang kita percaya dan yakin. Jika dalam diri sendiri ada keraguan, maka segala tindakan dan usaha yang akan dilakukan juga tidak akan berjaya. Fikir dan usahalah bahawa kita akan berjaya.  

No comments:

Post a Comment