Monday 9 July 2018

CADANGAN HADKAN JUMLAH HANTARAN PERKAHWINAN

Kes wanita atau keluarga wanita menetapkan jumlah mas kahwin, termasuk hantaran yang tinggi bukan perkara baru. Perkara yang sama telah berlaku pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab. 

Saidina Umar mengambil keputusan hendak menghadkan jumlah mas kahwin dan hantaran supaya tidak terlalu mahal dan melampau sangat serta mencadangkan tidak lebih daripada empat ratus dirham, lalu beliau berucap dalam satu perhimpunan yang turut dihadiri kaum wanita.

Ucap Umar: “Jangan kamu semua melampaui sangat dalam membawa mas kahwin kepada perempuan-perempuan. Kalaulah ia merupakan satu kemuliaan di dunia atau membawa ketakwaan di akhirat, nescaya Rasulullah orang yang lebih utama melaksanakannya, tetapi Rasulullah tidak pernah membawa mas kahwin bagi isteri-isteri atau anak-anaknya lebih daripada 12 ukiah daripada perak iaitu sebanyak 400 darham, maka sesiapa yang membawa mas kahwin lebih daripada itu, akan dijadikan yang lebih itu untuk baitulmal.”

Selepas ucapan Umar itu, lalu tampil seorang wanita dan berkata kepada Umar: “Tak patut tuan berkata begitu wahai Umar.” Lantas Umar bertanya kenapa? Lalu wanita itu meneruskan kata-katanya: “Kerana Allah telah berfirman dalam surah an-Nisa, ayat 20 (wanita itu membacanya). 

Ayat tersebut bermaksud: “Dan jika kamu hendak mengambil isteri baru bagi menggantikan isteri lama yang kamu ceraikan sedang kamu telah pun memberikan kepada seseorang di antaranya itu isteri yang diceraikan itu harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan menyebabkan dosa yang nyata.” (Surah an-Nisa, ayat 20).

Kisah yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tarmizi dan Nasai itu bermaksud bahawa jumlah mas kahwin tidak ditetapkan hadnya. 

Sungguhpun begitu disunatkan agar dikurangkan mas kahwin atau mengikut kemampuan seadanya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Perkahwinan yang paling banyak berkatnya ialah yang paling murah mas kahwinnya.” (Hadis riwayat Ahmad).

Perbelanjaan perkahwinan menjadi mahal dan mengapa keluarga perempuan meminta  hantaran yang tinggi disebabkan tidak berhemah mengurus perbelanjaan. 

Selain perbelanjaan menyediakan jamuan, ditokok tambah dengan hiasan bunga telur, hiasan pelamin, menempah mak andam, menyewa baju berberapa helai, perhiasan rumah, kad jemputan dan kumpulan kompang.

Oleh itu amat penting perbelanjaan perkahwinan tidak dilebih-lebihkan. Buatkan sekadar kemampuan, kerana yang penting ialah majlis akad nikah. 

Kebahagiaan dan kerukunan rumahtangga bukan bergantung kepada jumlah mas kahwin dan besar kecil majlis perkahwinan yang diadakan.  

Amat malang sekali banyak rumah tangga yang dibina dilanda masalah disebabkan tidak dapat menyelesaikan hutang majlis perkahwinan biarpun telah mempunyai cahaya mata. 

No comments:

Post a Comment