Hasad dengki sifat utama syaitan. Syaitan
tergolong hambar ingkar disebabkan adanya perasaan dengki dengan keistimewaan
yang Allah SWT berikan kepada manusia. Sebab itu syaitan selalu berniat jahat
terhadap manusia. Syaitan dengki kepada manusia tidak padam sehingga ke hari kiamat.
Permulaan perasaan dengki syaitan
terhadap manusia bermula apabila Adam (manusia) dilantik menjadi khalifah di
muka bumi.
Iblis berdengki kerana merasakan dia dan generasinya lebih layak
untuk tanggungjawab itu. Sebelum itu, iblis adalah hamba yang patuh dan telah
melakukan ketaatan kepada Allah.
Firman Allah bermaksud: “Dan
ingatlah ketika Kami berkata kepada malaikat: Sujudlah kepada Adam, lalu ia
sujud kecuali iblis yang telah enggan dan bersikap angkuh. (Dengan sebab itu)
maka jadilah mereka dari golongan yang kufur terhadap Allah.” (Surah al-Baqarah,
ayat 45).
Keengganan syaitan sujud kepada Adam
telah menyebabkan mereka menjadi golongan hamba tidak beriman dan dikeluarkan
dari syurga. Maka, tinggallah Adam dalam syurga dan kemudiannya diciptakan Hawa
oleh Allah sebagai pasangannya.
Melihat Adam dan Hawa yang menjalani
kehidupan dengan penuh kenikmatan di dalam syurga, maka sifat dengki syaitan
semakin bertambah.
Syaitan berusaha menggunakan tipu daya untuk merosakkan
kenikmatan yang dirasai oleh Adam dan Hawa itu sehinggalah ia berjaya melakukannya,
iaitu memperdaya memakan buah larangan.
Akibat itu, Adam dan Hawa telah
dikeluarkan dari syurga dan dihantar ke bumi untuk menjalani kehidupan dengan
penuh cabaran.
Biarpun, syaitan telah berjaya
merosakkan kebahagiaan hidup Adam dan Hawa, sifat dengki terhadap manusia tidak
pernah berkesudahan.
Malah, syaitan telah berjanji akan terus merosakkan hidup
manusia sehingga ke hari kiamat dengan kesesatan yang besar.
Allah SWT memberi peringatan kepada
manusia tentang niat syaitan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan syaitan bermaksud
menyesatkan manusia dengan sesat yang jauh-jauh.” (Surah an-Nisa, ayat 60).
Individu yang tidak mempunyai
pegangan iman yang kuat dapat dipengaruhi dengan mudah oleh syaitan agar
mengamalkan sifat dengki. Manusia yang mengamalkan sifat dengki amat mudah
dipengaruhi oleh syaitan untuk melakukan pelbagai kejahatan lain.
Masalah
hubungan sesama manusia banyak berpunca daripada sikap dengki. Malah, sejarah pembunuhan pertama sesama
manusia adalah berpunca dari adanya sifat dengki.
Qabil membunuh Habil kerana
berasa dengki terhadap Habil yang dapat mengahwini kembar Qabil yang cantik,
sedangkan dia terpaksa berkahwin dengan kembar Habil yang hodoh.
Gambar: Buah keranji.
No comments:
Post a Comment