Imam
Nawawi menulis di dalam Riyadhussolehin tentang apa itu hasad. Katanya:
”Seseorang yang tidak gembira kalau saudaranya mendapatkan sesuatu, sedangkan
ia sendiri akan gembira kalau memperolehnya, maka orang yang sedemikian ini
disebut orang dengki.”
Sikap pendengki memang memandang
serong terhadap orang yang tidak disukainya. Perbuatan itu secara tidak
langsung menunjukkan pendengki itu lemah, peribadinya rendah dan tidak mampu
menandingi orang yang didengki itu, melainkan dengan cara yang jahat.
Orang yang dikuasai perasaan hasad
dengki sentiasa mencari peluang untuk melakukan perbuatan buruk terhadap orang
lain bagi mencapai matlamat diri dan kumpulannya. Pada masa sama pihak yang
dianiaya pula akan membalas perbuatan itu. Akibatnya, berlakulah perselisihan,
dendam dan permusuhan yang berterusan.
Orang
yang berhasad dengki hidupnya tidak akan tenteram dan pemikirannya juga
sentiasa bercelaru kerana asyik memikirkan ketidakpuasan hati terhadap orang
lain. Dia sentiasa memikirkan jalan untuk memusnahkan orang lain sehingga ada mengakibatkan
pembunuhan.
Jelas
sekali banyak keburukan akibat sikap berdengki. Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.” (Surah al-Falaq,
ayat 5)
Untuk mengelak perasaan dengki
menjadi punca permasalahan lain, sesiapa yang menjadi mangsa perbuatan dengki,
banyaklah bersabar dan ingatkan Allah SWT. Jangan mudah membalas perbuatan itu
dengan perbuatan yang ditegah agama. Allah SWT memberi pembalasan yang besar
kepada orang yang sabar dan menahan dirinya daripada berlaku zalim.
Sikap berbalas perbutan buruk akan
menambahkan keadaan buruk. Situasi itu amat berbahaya kepada individu dan
masyarakat. Pihak yang tentu gembira dengan keadaan itu ialah mereka yang ingin
mengambil kesempatan. Mereka menanguk di air keroh, mungkin mencipta keadaan
lebih teruk lagi.
Bersyukurlah dengan apa yang kita
miliki dan apa yang terjadi kepada kita. Rasa syukur dan reda menjadikan kita
lebih tenang dan dapat melalui kehidupan dengan rasa hebat.
No comments:
Post a Comment