Tuesday 29 May 2018

KOPI MANA LEBIH BERKHASIAT

Kopi mana lebih berkhasiat, kopi perang atau hitam? Kopi berwarna hitam biasanya dipanggang lebih lama daripada kopi berwarna perang. Berita baik mengenai kopi hitam ialah ia dikatakan mengandungi kafeina yang lebih rendah berbanding kopi perang.

Pendedahan kepada suhu pada tempoh yang lama dipercayai menyebabkan kafeina berubah kepada bahan kimia yang tidak memiliki sifat perangsangan adrenal seperti dimiliki kafeina.

Kopi hitam seperti espresso dan Turkish coffee dikatakan menawarkan beberapa fitokimia bersifat penjagaan saraf (neuroprotective) yang tinggi berbanding dengan kopi hijau. Kopi hijau ialah biji kopi kering yang tidak dipanggang langsung. Ia dikatakan kaya dengan kandungan asid chlorogenic yang bersifat antioksidan.

Sifat anti-obesiti asid chlorogenic yang meningkatkan metabolisma lipid dan glukos dikatakan membantu sesetengah orang dalam menurunkan berat badan.

Kopi hitam juga dikatakan membantu penurunan berat badan secara signikifan pada subjek-subjek kajian yang pre-obes. Pre-obes merujuk kepada Indeks Berat Badan (BMI: Body Mass Indeks) 25 – 30 manakala BMI melebihi 30 pula termasuk dalam kategori obes. 

Kajian menunjukkan kopi hitam didapati meningkatkan jumlah N-methylpyridinium yang mengurangkan kadar perembesan asid perut. Saintis sedang mengkaji sifat anti-karsinogen N-methylpyridinium terutama terhadap kanser kolon.

Proses pemanggangan dipercayai menyebabkan pembentukan acrylamide iaitu sejenis bahan bertoksin yang didapati meningkatkan risiko kanser. Jika dilihat dari sisi ini, maka seolah-olah pengambilan kopi perang menyebabkan risiko kanser berkurangan.

Namun begitu, pelbagai fitokimia antioksidan yang terdapat dalam kopi dipercayai meneutralkan sifat karsinogen acrylamide. Setakat ini memang tiada bukti berdasarkan kajian sains untuk menyetujui atau menolak deduksi tersebut.

Ramai yang tidak tahu, kopi putih (white coffee) tempatan ialah serbuk kopi dipanggang bersama marjerin pada sukatan agak tinggi.

Sesetengah pengeluar kopi tempatan pula dipercayai masih menambah tempurung kelapa dan jagung ketika memanggang serbuk kopi.

No comments:

Post a Comment