Friday, 2 February 2018

KANDUNGAN GULA MINUMAN 3 DALAM 1

Minuman segera atau prabancuh menjadi pilihan ramai. Penyediaannya mudah dan cukup rasa. Apa yang penting, ada air panas dan kacau. Terus tersedia untuk diminum.

Tidak dinafikan ia menjadi pilihan, namun ramai tidak menyedari minuman segera atau lebih dikenali 3 dalam 1 ini mempunyai keburukan jika kerap diamalkan atau diambil dalam kuantiti yang banyak.

Minuman 3 dalam 1 boleh mendatangkan bahaya kerana minuman ini sebenarnya mengandungi gula yang berlebihan dalam setiap hidangan, iaitu lebih dari 3 sudu teh gula.

Pengeluar memasukkan kandungan gula yang tinggi untuk mengurangkan rasa pahit kopi atau teh yang juga dimasukkan dengan kuantiti tinggi untuk menghasilkan aroma kopi atau teh itu.

Kandungan gula yang tinggi juga dijadikan umpan untuk menghasilkan tenaga. Gula pembekal tenaga cepat kepada badan.

Walaupun minuman ini digembar-gemburkan mengandungi ginseng, kacip fatimah dan tongkat ali untuk menambahkan tenaga, namun kandungannya amat sedikit.

Selain daripada itu, krimer yang digunakan bukanlah dari produk tenusu (non-dairy creamer). Sebaliknya, krimer bukan tenusu yang digunakan ialah daripada sumber minyak kelapa sawit, dan merupakan sejenis lemak tepu.

Kesan buruk krimer bukan tenusu ini ialah ia boleh menyebabkan saluran arteri darah tersumbat, seterusnya menyebabkan penyakit koronari jantung dan angin ahmar (strok).

Bagi yang sedia ada penyakit diabetes dalam badan, kekerapan minum minuman 3 dalam 1 akan menyebabkan keadaan diabetes anda bertambah buruk.

Setiap pek minuman 3 in 1 mengandungi sehingga 200 kalori. Jumlah 200 kalori itu sama dengan 2 keping roti atau sepinggan nasi. Jika diambil 3 paket minuman 3 in 1 sehari, ia bersamaan 600 kalori, sekaligus menyumbang kepada berat badan berlebihan.

Apapun, pengambilan minuman 3 in 1, ataupun krimer bukan tenusu bukanlah tak dibolehkan langsung, tetapi perlulah diambil secara bersederhana, demi menjaga kesihatan kita. 

No comments:

Post a Comment