Kementerian
Wilayah Persekutuan telah pun mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
untuk memasang jaring keselamatan bagi mengurangkan risiko ditimpa objek yang
dilempar penduduk flat projek perumahan rakyat (PPR).
Namun
strategi jangka panjang masih diperlukan untuk menyelesaikan masalah itu dengan
berkesan.
Walaupun
jaring keselamatan dapat membantu mencegah kecederaan dan kematian tetapi pada
masa sama ia juga seolah-olah menggalakkan penghuni PPR untuk terus membuang
sampah atau barang-barang yang tidak digunakan sewenang-wenangnya.
Mereka
mungkin beranggapan bahawa objek yang dicampak tersebut tidak akan menimpa
orang lain di tingkat bawah.
Ini juga akan menambah beban kepada pekerja pembersihan untuk membersihkan sampah dan barangan yang tersangkut di jaring tersebut.
Semua
pihak berkuasa tempatan dan persatuan penduduk PPR sepatutnya bekerjasama untuk
membantu mendidik penduduk flat tentang kepentingan tanggungjawab sivik.
Penduduk
flat perlu diwajibkan untuk menghadiri kelas tanggungjawab sivik jika program
kesedaran ini ingin dilaksanakan dengan berkesan.
Kempen
kesedaran secara besar-besaran dan berterusan perlu dianjurkan di setiap PPR
untuk mendidik penghuni tentang kesan daripada tindakan mereka yang tidak
bertanggungjawab dan mengapa mereka harus berubah.
Pihak
berkuasa tempatan juga harus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan
menyediakan lebih banyak kemudahan asas untuk pembuangan sampah serta
mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik supaya kemudahan yang ada seperti
lif sentiasa berfungsi dengan baik.
Mereka
juga perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau aktiviti di
rumah pangsa dan menghalang perbuatan vandalisme dan membuang sampah sesuka
hati. CCTV juga boleh membantu pihak berkuasa memerangi jenayah di rumah-rumah
pangsa terbabit.
Langkah-langkah
ini penting kerana kejadian membaling objek dari tingkat atas flat PPR sering
berlaku dan daripada apa yang dilaporkan, ia termasuk tin sardin, lampin pakai
buang bayi yang telah digunakan, perabot dan juga haiwan hidup seperti kucing.
Penghuni yang sering melanggar peraturan yang
ditetapkan harus diusir keluar kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka tidak
menyusahkan orang lain.
Isu ini
bukan sesuatu yang baharu tetapi telah lama menghantui penghuni rumah pangsa
terutama di kawasan bandar. Ia berkait rapat dengan tahap tanggungjawab sivik
yang rendah atau tiada langsung akibat tabiat buruk yang diamalkan penduduk
flat.
Insiden terbaru yang meragut nyawa S.
Sathiwaran, 15, apabila ditimpa sebuah kerusi yang dibuang dari atas flat PPR
di Pantai Dalam, Kuala Lumpur menunjukkan betapa masih ramai penghuni rumah
pangsa yang tidak bertanggungjawab.
Kejadian tragis yang sepatutnya boleh dicegah
itu menjadi berita sensasi dan turut mendedahkan sisi buruk sesetengah rakyat
Malaysia yang tidak mempedulikan keselamatan awam dan alam sekitar.
Banyak
rumah pangsa kos rendah ini dibina untuk keluarga setinggan apabila kawasan
mereka diambil untuk projek pembangunan oleh kerajaan atau sektor swasta.
Tinggal di persekitaran baharu sudah
semestinya memerlukan banyak penyesuaian namun ada yang terbawa-bawa tabiat
buruk seperti membuang sampah sesuka hati.
Tabiat
buruk sedemikian mesti ditangani melalui program pendidikan yang khusus diikuti
oleh penguatkuasaan undang-undang yang ketat.
Ini kerana masih ada penghuni yang tidak
peduli jika objek yang dibuang mereka boleh merosakkan harta benda orang lain,
terutamanya kenderaan yang diletakkan di tingkat bawah.
Lebih
memburukkan keadaan, barangan yang dibuang itu juga boleh meragut nyawa orang
atau mencederakan orang lain.
Kelakuan buruk sebegini turut mencerminkan
tahap kesedaran dan tanggungjawab sivik yang rendah atau tiada langsung dalam
kalangan mereka dan ini menggambarkan sikap sesetengah rakyat Malaysia yang
hodoh. Mereka adalah insan yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri
sendiri.
Kecenderungan membuang sampah sesuka hati dan
sikap suka mencemarkan alam sekitar juga menunjukkan kekurangan tanggungjawab
sivik dalam kalangan segelintir rakyat.
Kekurangan tanggungjawab sivik dan kegagalan
untuk mengamalkan nilai-nilai murni juga merupakan punca banyak penyakit dalam
masyarakat kita dan telah mengancam keselamatan masyarakat secara keseluruhan.
Masanya telah tiba bagi kerajaan untuk
menilai semula keberkesanan sukatan pelajaran berkaitan nilai-nilai mulia dan
tanggungjawab sivik di sekolah.
Walaupun
anak-anak kita mungkin telah belajar mengenai nilai-nilai murni di sekolah dan
rumah, para guru dan ibu bapa harus memastikan mereka mengamalkannya.
Nilai-nilai murni ini bukan semata-mata untuk
dihafal pelajar demi untuk lulus peperiksaan tetapi perlu diamalkan dalam
kehidupan seharian.
Dalam
usaha untuk menjadi negara maju, saya berharap semua aspek pembangunan manusia
terutamanya tanggungjawab sivik dan nilai-nilai murni mesti disemai dan
diamalkan dalam kalangan rakyat.
Tidak ada gunanya jika Malaysia berjaya
mencapai status negara maju jika rakyatnya tidak mempraktikkan nilai-nilai
murni dan kekurangan tanggungjawab sivik.
TAN SRI LEE LAM THYE
Bekas
Ahli Lembaga Penasihat DBKL.
No comments:
Post a Comment