Monday 20 November 2017

CARA MENENTU ARAH KIBLAT

Terdapat pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk menentukan hala kiblat, dari kaedah tradisional hinggalah kepada kaedah moden. Ada juga kesempatan yang boleh diambil keatas kedudukan jasad-jasad samawi. Ini termasuklah penggunaan bintang al-Qutbi (Polaris), fasa-fasa bulan, matahari terbenam, lintasan matahari dan juga penjajaran tiga bintang iaitu Al-Nitak, Al-Nilam dan Mintaka di dalam buruj al-Babadur (Orion).

Perkembangan pesat yang berlaku di dalam bidang astronomi, geografi dan matematik telah menjadikan urusan penentuan hala kiblat sekarang sebagai satu perhitungan trigonometri yang mudah.

Terkini, peralatan moden seperti kompas prismatik, tiodolit, gyroscope dan GPS telah semakin mengambil tempat.

Kaedah Tradisional penentuan arah kiblat:

Matahari istiwa atas Kaabah. Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas kaabah berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei (27 Mei untuk tahun lompat) kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai (15 Julai untuk tahun lompat), kira-kira jam 5.28 petang (waktu Malaysia).

Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan memperbetulkan arah kiblat. Panduan menentukan arah kiblat dari satu tempat pada tarikh dan masa yang ditentukan di atas: Pacakkan satu tiang pada kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya. Pastikan tiang berkenaan tegak dan lurus.

Bagi menyemak ketegakannya boleh diletak sebarang pemberat yang diikat pada hujung tiang itu. Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung daripada sinaran matahari. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang-bayang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah bayang-bayang yang menghadap ke barat.

Kaedah buruj bintang. Buruj bintang ialah sekumpulan bintang yang berada di suatu kawasan langit serta mempunyai bentuk hampir sama dan kelihatan berdekatan antara satu sama lain. Langit dibahagikan kepada 88 kawasan buruj bintang. Bintang yang berada pada satu kawasan sama adalah dalam satu buruj.

Sesuatu buruj bintang mengikut bentuk yang mudah dikenal pasti seperti bentuk haiwan dan geometri. Dengan mengetahui bentuk buruj bintang tertentu, arah utara dan arah kiblat dari sesuatu tempat boleh ditentukan. Menggunakan kedudukan buruj Orion atau buruj Al-Babadour. Pada buruj itu ada tiga bintang berderet iaitu Mintaka, An Nilam dan An Nitak. Arah kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah tiga bintang berderet berkenaan ke arah barat.

Kaedah matahari terbenam. Secara umum, jika kita merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah dari azimut 235 darjah hingga 295 darjah. Ia boleh digunakan sebagai satu daripada langkah berijtihad, arah matahari terbenam boleh digunakan jika mengetahui perbezaan sudut antara arah matahari dengan arah kiblat. Dalam keadaan tertentu arah matahari jatuh boleh diyakini sebagai arah kiblat, sekalipun tidak tepat.

Mengikut mazhab Syafi’e, walaupun tidak tepat tetapi darjahnya tidak melebihi 45 darjah kiri dan kanan maka sah solatnya.

Kaedah moden tentu kiblat:

Pengiraan arah kiblat. Hitungan adalah berdasarkan kepada konsep arah di sepanjang bulatan gedang bumi (great circle). Membabitkan model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi tempatan dan koordinat geografi rujukan (Kaabah).

Kompas Prismatik. Penandaan arah kiblat dengan kompas banyak diamalkan di kalangan masyarakat Islam masa kini. Arah yang ditunjukkan oleh sesuatu kompas adalah arah merujuk ke arah utara. Arah utara magnet pula tidak semestinya bersamaan dengan arah utara benar.

Perbezaan arah utara ini dipanggil sebagai sudut serong magnet. Antara masalah yang boleh timbul menggunakan kompas ialah tarikan graviti tempatan yang mana ia terkesan dari kewujudan bahan logam atau arus elektrik di sekeliling kompas yang digunakan. Boleh digunakan sebagai alat alternatif jika alat yang lebih sesuai tidak ada.

Penggunaan Teodolit. Teodolit adalah antara alat termoden yang diguna pakai oleh kebanyakan juruukur dan pihak yang melakukan kerja menentukan arah kiblat. Alat itu digunakan untuk mengukur bacaan sudut secara mendatar dan menegak. Ia memberi kejituan bacaan tinggi dan tepat. 

No comments:

Post a Comment