Ada orang membuat keputusan atau tindakan
bertujuan menjerat orang lain. Biarpun nampak macam dia buat keputusan untuk
dirinya, tetapi hakikatnya untuk menjerat orang lain.
Apa yang dilakukan itu tidak bermaksud sedemikian. Contohnya, pemimpin yang meletak jawatan sebenarnya sayang kepada jawatan itu. Sebaliknya, dia meletak jawatan dengan harapan orang lain juga menanggung akibatnya.
Atau, dia meletak jawatan sekadar acah-acah sahaja, kerana yakin peletakkan jawatan itu tidak diterima pihak atasan. Dia mengharapkan akan mendapat kesan yang lebih baik daripada tindakan itu.
Sebaliknya, rancangan itu gagal. Jawatan yang disayangi terlepas begitu sahaja. Menyesal tidak berguna. Kalau terus difikirkan boleh menjadi “gilo sakok”.
Ingatlah, ketika membuat keputusan perlu dalam keadaan tenang. Jangan terburu-buru atau berniat buruk. Marah itu perangai iblis. Iblis menjadi hamba kufur kerana marah kepada Allah SWT mencipta Adam untuk dijadikan khalifah di muka bumi.
Prinsip utama dalam membuat keputusan adalah berdasarkan keikhlasan kerana Allah SWT. Setiap keputusan yang ikhlas kerana Allah SWT membantu kita memperoleh keputusan yang tepat dan benar.
Justeru, hadirkan Allah SWT dalam hati semasa ingin membuat sebarang keputusan. Bermohon kepada Allah SWT agar diberikan pilihan atau membuat keputusan yang memberi kesan terbaik.
Sedangkan jika membuat keputusan kerana dendam, marah dan dengki, yang mendampingi kita untuk membuat keputusan adalah syaitan. Syaitan akan mempengaruhi membuat keputusan yang kesan adalah keburukan.
Jerat yang dipasang, terkena diri sendiri. Jerat yang betul-betul kuat mencengkam sehingga tidak dapat lepas lagi. Jerat yang membunuh dan merosakkan kehidupan sendiri
Setiap perkara yang dilakukan bersandarkan kepada Ilahi membawa kebaikan kepada diri. Justeru, setiap keputusan menentukan keadaan diri kita.
Jangan biarkan orang lain mengawal dan membuat keputusan hidup kita. Prinsip utama ialah membuat keputusan dengan ikhlas kerana Allah SWT.
Orang mukmin yang beriman adalah mereka yang hari ini lebih akrab dan lebih bertakwa kepada Allah SWT daripada hari sebelumnya. Sebagai mukmin, kita perlu sentiasa ada sikap untuk menambah keimanan kepada Allah SWT, kerana itu perkara penting perlu diamalkan.
Mukmin yang dalam hatinya memiliki Allah SWT, umpama memiliki segala-galanya. Mukmin yang memiliki segala-galanya, tetapi dalam hati tidak ada Allah SWT bererti tidak memiliki apapun.
Justeru, sebesar manapun kejayaan yang diraih dalam hidup ini, tetapi tidak disandarkan kepada Allah SWT, ia tidak memberi makna.
Oleh itu, apa yang kita lakukan hendaklah membabitkan Allah SWT kerana setiap perbuatan kerana Allah SWT akan membawa kebaikan kepada kita.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment