Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Yahudi telah terpecah menjadi 71 golongan; satu golongan masuk syurga, 70
golongan masuk neraka. Kristian terpecah menjadi 72 golongan; satu golongan
masuk syurga, 71 golongan masuk neraka. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di
tangan-Nya, umatku akan terpecah menjadi 73 golongan; satu golongan masuk
syurga dan 72 golongan masuk neraka.” Lalu ada sahabat yang bertanya: ’Wahai
Rasulullah! Siapa mereka yang masuk syurga itu?” Baginda pun menjawab: ‘Mereka
adalah al-Jamaah‘.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Daud, dishahihkan Syaikh Al-Albani)
Dalam riwayat lain para sahabat bertanya,
’Siapakah mereka wahai Rasulullah?‘ Beliau menjawab, ‘Orang yang mengikuti
jalan hidupku dan para sahabatku.‘ (Hadis riwayat Tirmizi)
Berdasarkan kepada hadis tersebut dapat
difahami bahawa orang Yahudi dan Kristian juga ada yang masuk syurga.
Persoalannya, adakah ia benar? Bukankah selain agama Islam itu akan masuk
neraka, bahkan juga tidak dihisab? Lalu Yahudi dan Kristian yang mana yang
dapat masuk syurga?
Ya, benar bahawa Yahudi dan Kristian juga
ada yang masuk syurga. Yahudi yang masuk syurga adalah mereka yang taat kepada
nabi-nabi mereka pada zaman mereka. Misalnya adalah para pengikut Nabi Musa.
Kristian yang masuk syurga adalah mereka yang taat kepada Nabi Isa pada zaman
beliau.
Adapun setelah diutusnya Nabi Muhammad SAW,
Yahudi dan Nasrani yang boleh masuk syurga adalah mereka yang taat kepada Nabi SAW.
Dengan kata lain, mereka yang masuk Islam dan baik keislamannya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang
Yahudi, orang-orang Kristian dan orang-orang Shabiin, siapa saja di antara
mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, hari kemudian dan beramal salih,
mereka akan menerima pahala dari Tuhan mereka, tidak ada kekhawatiran kepada
mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 62)
Seorang ahli tafsir dari kalangan tabiin
bernama Qatadah berkata menafsirkan makna shabiin: “Mereka adalah suatu kaum
yang membaca kitab Zabur, beribadah kepada Malaikat, solat menghadap Kaabah,
dan mengakui adanya Allah Taala. Mereka mengambil sesuatu dari setiap agama.”
(Tafsir al-Baghawi)
Adapun orang Yahudi dan Kristian yang tidak
mahu beriman kepada Rasulullah SAW, mendustakan dan bahkan mempermainkan
ayat-ayat Allah dan merubah kitab suci Nabi mereka, mereka tidak akan masuk
syurga.
Allah menjelaskan: “Adapun orang-orang yang
kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal
di dalamnya.” (Surah al Baqarah, ayat 39).
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan
mereka (orang-orang Yahudi) berkata: “Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh
api neraka, kecuali selama beberapa hari saja.” Katakanlah: “Sudahkah kalian
menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya,
ataukah kalian hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?” (Surah
al Baqarah, ayat 80)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seandainya
Musa masih hidup, dia tidaklah memiliki keleluasaan kecuali harus mengikutiku.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi dalam kitab Syu’abul Iman))
Hadis tersebut menunjukkan bahawa
orang-orang Yahudi yang masih hidup setelah diutusnya Rasulullah SAW wajib
untuk beriman kepada baginda, wajib untuk masuk Islam. Bahkan, jika nabi mereka
(Nabi Musa) seandainya masih hidup pada masa Rasulullah SAW, wajib untuk
mengikuti Nabi Muhammad.
Dakwah yang dahulu dilakukan Rasulullah SAW
terhadap orang-orang Yahudi dan Kristian menunjukkan bahawa jika mereka tetap
berada pada agama mereka yang dahulu, bererti mereka berada di atas kebatilan,
dan tidak akan masuk syurga.
Gambar putu halba sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment