Monday 1 November 2021

POKOK GELAM MENGHASILKAN MINYAK KAYU PUTIH

 
Pokok gelam atau dikenali juga dengan nama pokok kayu putih atau nama saintifik Melaleuca cajuputi dari famili Myrtaceae merupakan pokok yang mengeluarkan sumber minyak perubatan dipanggil minyak cajuput atau minyak kayu putih.

Pokok gelam boleh didapati tumbuh meliar di kawasan terbiar dan berpaya di seluruh Semenanjung Malaysia. Pokok gelam juga tumbuh di hutan atau bukit berhampiran kawasan berpaya hasil penyebebaran biji benih.

Pokok gelam boleh mencapai ketinggian sehingga 15-20m dengan kanopi padat dan sempit. Daunnya menyerupai daun pokok Acacia. Daunnya mengeluarkan bau seakan pokok teh apabila dihancurkan.

Buah akan pecah untuk menyebarkan bijinya yang berwarna coklat. Bunga kecil berkrim kuning memanjang berbentuk berus botol menyebabkan ianya juga dikenali dengan nama bottle brush plant.

Pokok gelam dianggap sebagai pokok yang lasak kerana mampu menahan keadaan kemarau, angin yang kuat atau suhu panas yang melampau. Pokok gelam juga sesuai dijadikan tanaman landskap yang menarik di taman-taman.

Batang pokok gelam kurus dan kelihatan seperti berpintal disaluti kulit yang lembut tebal berwarna putih keperangan hingga kelabu dan boleh mengelupas dalam kepingan besar seperti helaian kertas yang sering disebut juga dengan nama pokok kulit kayu kertas.

Bagi penternak lebah madu, ia merupakan tumbuhan paling digemari pengusaha untuk memindahkan haif-haif lebah disebabkan tumbuhan ini berbunga sepanjang tahun dan boleh menghasilkan madu yang berkualiti.

Bunga pokok gelam sangat disukai oleh lebah kelulut. Bunganya yang tumbuh berjambak, berwarna putih krim mempunyai banyak nektar dan debunga. 

Sehubungan dengan itu, aktiviti penternakan lebah banyak diusahakan di kawasan hutan gelam.

Pemeliharaan kawasan hutan gelam perlu dilakukan bagi menjamin kawujudan pokok tersebut berkekalan. Banyak kawasan hutan gelam kini menjadi mangsa pembangunan.

Selain itu, kawasan hutan gelam turut menjadi mangsa kebakaran pada musim panas.




No comments:

Post a Comment