Kebaikan di dunia ini dianugerahkan Allah berdasarkan apa yang diusahakan. Allah melimpahkan rezeki tanpa membezakan jantina. Sesiapa melakukan usaha, dia berhak memperoleh apa yang diusahakan.
Firman Allah bermaksud: “Bagi lelaki bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita juga bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (Surah an-Nisa, ayat 32).
Pendapat mengatakan bahawa wanita hanya sesuai menguruskan rumahtangga berdasarkan kepada tabie kejadian wanita perlu dihormati semua. Namun, terdapat wanita yang mempunyai kemampuan luar biasa yang dianugerahkan Allah.
Ia berkaitan dengan daya usaha yang dilakukan secara bersungguh-sungguh sehingga berjaya mencapai satu kedudukan yang tertinggi.
Allah berfirman bermaksud: “Barang siapa yang beramal baik, lelaki dan wanita, sedang dia seorang yang beriman, maka Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan akan Kami berikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 97).
Secara jelas membuktikan tidak halangan bagi wanita melakukan sesuatu usaha untuk kebaikan diri sendiri dan keluarga, selagi tidak melanggar peraturan yang ditetapkan agama. Hidup ini dibatasi dengan hukum dan peraturan selaras dengan kedudukan sebagai khalifah dan hamba-Nya.
Tidak dinafikan masih ada golongan yang tidak dapat menerima hakikat bahawa kaum wanita kini sudah mampu mengatasi kemampuan lelaki. Sebab itu, ada golongan cuba membataskan kemajuan kaum wanita dengan cara mengaitkan ia berkaitan hukum agama.
Terdapat dua golongan yang mengemukakan pendapat berkaitan penglibatan wanita dalam kerjaya dan kepimpinan.
Golongan konsevertif mengatakan haram wanita dipilih menjadi pemimpin walau dalam bidang apa sekalipun. Kaum wanita dianggap lemah dan tidak layak memegang tugas berat sebagai pemimpin.
Golongan konservertif berpegang kepada hadis bermaksud: “Kaum yang melantik wanita sebagai pemimpin pasti tidak beroleh kejayaan.”
Berdasarkan hadis tersebut, dirumuskan wanita hanya layak diperintah oleh lelaki dan tidak berhak langsung untuk berada di kedudukan lebih daripada lelaki.
Berlainan pendapat golongan liberal yang mengambil kira soal kemampuan sebagai syarat kelayakan. Jika terdapat wanita lebih mampu atau layak menjadi pemimpin, maka harus wanita berkenaan dilantik menjadi pemimpin untuk kebaikan semua.
Golongan liberal mentafsir hadis di atas sebagai satu muslihat dan propaganda yang dibuat oleh Rasulullah bertujuan menaikkan semangat tentera Islam untuk berperang menyerang kerajaan Parsi yang dipimpin oleh seorang Ratu.
No comments:
Post a Comment